Nahas pesawat di Elmina: Rakaman suara berakhir dengan laungan 'Ya ALLAH'
SHAH ALAM - Laporan akhir siasatan nahas membabitkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina yang meragut 10 nyawa tahun lalu mendedahkan butiran transkrip rakaman suara antara dua anak kapal yang berakhir dengan laungan 'Ya ALLAH'.
Rakaman berdurasi kira-kira 26 minit itu merekodkan suara dikenal pasti sebagai pembantu juruterbang menyebut 'lift dump unlock, handle illuminated' ketika proses pendaratan.
Sejurus itu, butiran rakaman menyatakan terdapat bunyi amaran berpunca daripada pengaktifan 'lift dump' dalam tempoh satu setengah saat sebelum kedengaran suara panik dikenal pasti sebagai juruterbang utama.
"Woah woah woah woah woah woah woah woah. what's going on? (apa yang sedang berlaku?)," menurut butiran rakaman dalam laporan dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada Jumaat.
Dalam tempoh 11 saat selepas itu, rakaman berakhir dengan laungan 'Ya ALLAH' oleh kedua-dua juruterbang.
Juruterbang: "Ya ALLAH. [jeritan] [Almighty ALLAH.]"
Pembantu Juruterbang: "Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH. [jeritan] [Almighty ALLAH. Almighty ALLAH. Almighty ALLAH."
Pada Jumaat, nahas berkenaan disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Hasil siasatan terperinci dikeluarkan BSKU telah mendedahkan punca utama kemalangan tersebut adalah peluasan secara tidak sengaja daripada 'lift dump spoilers' yang kemungkinan besar dilakukan oleh pembantu juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan tersebut menyebabkan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat sehingga berlakunya nahas.
Siasatan itu juga mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang kepada nahas tersebut.
Dalam kejadian 17 Ogos tahun lalu, pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Mangsa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal, serta seorang penunggang motosikal p-hailing dan seorang pemandu e-hailing yang melalui kawasan itu.
Antara mereka, termasuk Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Johari Harun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!