Ops Tiris 3.0: KPDN rekod rampasan RM74.85 juta sejak Januari

Armizan (tengah) pada sidang akhbar selepas serbuan penyelewengan LPG di sebuah stor haram di Lukut di sini pada Jumaat.
Armizan (tengah) pada sidang akhbar selepas serbuan penyelewengan LPG di sebuah stor haram di Lukut di sini pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Ops Tiris 3.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan sebanyak RM74.85 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 16 Ogos ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, nilai rampasan itu membabitkan 1,900 kes hasil daripada 27,971 pemeriksaan premis yang dilakukan.

Menurutnya, dalam tempoh sama seramai 469 individu telah ditahan.

"Skop penguatkuasaan Ops Tiris 3.0 adalah meliputi minyak diesel, petrol RON95, minyak masak peket 1 kilogram (kg), gula putih, tepung gandum dan gas petroleum cecair (LPG).

"Ops akan diperkasakan dengan melibatkan kerjasama orang awam khususnya melalui penyaluran aduan dan maklumat," katanya pada sidang akhbar selepas serbuan penyelewengan LPG di sebuah stor haram di Lukut di sini pada Jumaat.

Berkenaan serbuan dilakukan beliau berkata, sejumlah 186 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg telah dirampas.

Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM33,130 termasuk alat timbang elektronik dan paip getah penyambung yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.

"Semakan lanjut juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran LPG tersebut," katanya.

Tambahnya, syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Ujarnya, siasatan akan melibatkan aspek kesalahan penggubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita dan perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram itu.

"Dalam serbuan dilakukan, seorang anggota KPDN cedera pada leher selepas bergelut dengan dua suspek yang cuba melarikan diri dari lokasi.

"Daripada keseluruhan kes yang dicatatkan di bawah Ops Tiris 3.0, sebanyak 127 kes melibatkan LPG telah direkodkan di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM748,549.40," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!