Kontroversi buka tudung, anggota Paskibraka dibenarkan berhijab

Seramai 76 pelajar dilantik sebagai anggota Paskibraka pada tahun ini. - Foto Agensi
Seramai 76 pelajar dilantik sebagai anggota Paskibraka pada tahun ini. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - “Anggota wanita pasukan pengibar bendera pusaka (Paskibraka) dibenarkan memakai tudung ketika acara rasmi sempena meraikan ulang tahun ke-79 Hari Kemerdekaan di Ibu Kota Nusantara (IKN).”

Pengesahan itu dibuat Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono setelah insiden mendedahkan rambut ketika upacara pelantikan mereka pada Selasa lalu mengundang kritikan banyak pihak termasuk Majlis Ulema Indonesia (MUI).

Difahamkan, skuad elit terdiri daripada pelajar sekolah tinggi dari seluruh negara itu dipertanggungjawabkan untuk menaikkan dan menurunkan bendera kebangsaan ketika sambutan Hari Kemerdekaan (HUT RI) yang disambut pada 17 Ogos setiap tahun.

“Kami sudah memaklumkan kepada anggota wanita supaya terus berhijab walaupun sedang bertugas,” ujarnya sambil menambah pasukan berkenaan sudah berbuat demikian ketika sesi raptai di IKN pada pagi Rabu.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Pengembangan Ideologi Pancasila (BPIP), Yudian Wahyudi mempertahankan keputusan supaya anggota wanita mematuhi etika pakaian seragam.

Arahan itu menyebabkan 18 anggota yang sememangnya bertudung terpaksa mendedahkan aurat masing-masing hingga memaksa 'campur tangan' Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang kemudiannya menggesa perintah kontroversi itu ditarik balik. - Agensi

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!