Apps MYJalan selesai masalah pengguna jalan raya
PELANCARAN aplikasi (Apps) MYJalan yang merangkumi sistem aduan dan sistem maklumat jalan raya memberikan kemudahan kepada orang ramai membuat aduan yang berkaitan jalan raya.
Mungkin kita boleh ambil enteng tentang masalah jalan raya. Tahukah anda jalan raya berlubang dan rosak serta lampu isyarat tidak berfungsi boleh menyebabkan kemalangan, malah boleh hilang nyawa. Inilah tujuan apps MYJalan diperkenalkan.
Sebelum ini ada saluran aduan yang konvensional seperti telefon, email dan sistem portal Biro Pengaduan Awam.
Bagaimanapun, rata-rata pengguna memberikan reaksi ia susah dan leceh penggunaannya. Kehadiran apps MYJalan sangat dialu-alukan kerana di samping mudah digunakan di mana sahaja asalkan ada talian.
Ia terbukti berkesan apabila terdapat pelbagai inisiatif telah diperkenalkan dalam usaha menyelesaikan masalah berkaitan jalan raya. Salah satu inisiatif penting yang diambil ialah pengumuman peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi tujuan menaik taraf laluan Lebuhraya Timur-Barat di laluan Gerik-Jeli.
Penambahan peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan dana untuk projek berkenaan adalah sebanyak RM75.676 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, Lebuhraya Timur-Barat yang melintasi kawasan hutan dan pergunungan sering berdepan dengan pelbagai cabaran seperti hakisan, tanah runtuh serta kerosakan jalan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur jalan raya di negara berada dalam keadaan terbaik, selamat dan selesa. Penambahbaikan ini adalah kritikal untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Pada tahun 2023, apps aduan jalan raya MYJalan direka oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memudahkan rakyat melapor sebarang aduan berkenaan jalan raya.
Muat turunnya percuma, tiada fi yang terselindung dan hanya sekali pendaftaran sahaja memudahkan anda membuat aduan serta menyemak maklum balas dengan pantas.
Walaupun KKR bertanggungjawab terhadap Jalan Persekutuan, aplikasi MYJalan dengan polisi No Wrong Door nya, membolehkan anda membuat aduan berkenaan apa jua jenis dan kategori jalan.
MYJalan akan menyalurkan kepada agensi yang bertanggungjawab terhadap jalan tersebut. Ini bagi memastikan setiap aduan diterima dan diproses dengan pantas tanpa mengira jenis dan kategori jalan.
Kini proses melaporkan masalah jalan raya seperti jalan berlubang, jalan rosak, tanah runtuh, gangguan dan halangan di jalan, banjir, lampu rosak, dan pelbagai isu lain lebih mudah dan segera.
Apps ini dilengkapi dengan ciri-ciri pelaporan pantas yang membolehkan pengguna menghantar aduan secara langsung dengan gambar dan lokasi Global Positioning System (GPS) yang tepat bagi memastikan tindakan dapat diambil secepat mungkin oleh pihak berkuasa.
Sejak 1 Ogos 2023 sehingga 31 Julai 2024, MYJalan menerima sebanyak 17,157 aduan melibatkan KKR dan lain-lain Jabatan/Agensi Kerajaan dengan 30.18 peratus atau 5,178 merupakan aduan di bawah seliaan KKR Agensi. Aduan berkaitan jalan berlubang berada di kedudukan pertama iaitu 2,097 diikuti jalan rosak (921), lampu jalan (838), lampu isyarat (535), garisan jalan (284), halangan (210), kemudahan awam (108), papan tanda (80), perabot jalan (75) dan tanah runtuh (30).
Pemantauan
Menurut Alexander, berdasarkan aduan daripada MYJalan, kerajaan juga bersetuju meluluskan permohonan peruntukan sebanyak RM113 juta untuk membaik pulih jalan raya yang rosak akibat monsun timur laut di seluruh Malaysia terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur, Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki 129 lokasi yang terjejas termasuk 48 cerun runtuh dan 81 jalan raya rosak.
“Jalan rosak dan cerun runtuh boleh menyebabkan risiko kemalangan serius serta gangguan kepada pergerakan rakyat. Kerja pembaikan yang dilaksanakan ini akan memulihkan akses dan mobiliti yang terganggu sekali gus melancarkan pergerakan trafik di kawasan-kawasan terjejas,” kata Alexander.
Setiap lokasi terjejas akan dinilai secara terperinci untuk menentukan jenis dan skala kerja pembaikan yang diperlukan. Perancangan teliti akan memastikan pembaikan dilakukan dengan pantas, cekap serta efektif.
Sementara itu, KKR memaklumkan, kerja-kerja pembaikan turut melibatkan kontraktor yang berkelayakan dengan pemantauan rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKR.
Ia termasuk penggunaan bahan dan teknik pembinaan yang sesuai untuk memastikan hasil berkualiti serta tahan lama.
“Selepas pembaikan, kawasan yang terjejas akan dipantau secara berkala untuk memastikan masalah tidak berulang atau tiada masalah baharu timbul. Pembaikan yang dilakukan bertahan dalam jangka masa panjang,” jelas Alexander.
Dalam masa sama, KKR menjelaskan Belanjawan 2024 menyaksikan KKR menerima peruntukan sebanyak RM2.345 bilion dengan RM1.907 bilion khusus untuk penyenggaraan Jalan Persekutuan.
“KKR dapat memastikan aspek mobiliti, kesinambungan, kebolehcapaian dan ketersambungan jalan raya di negara ini ditingkatkan jika adanya penyenggaraan secara berterusan.
“Rakyat boleh menikmati manfaat jalan raya yang selamat, selesa dan efi sien,” katanya.
KKR anggar perlu RM4 bilion baik pulih infrastruktur jalan
Sementara itu, KKR menganggarkan RM4 billion diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih infrastruktur jalan yang melibatkan pavemen, bukan pavemen, penyenggaraan jambatan, lampu jalan dan lampu isyarat.
Alexander berkata, jalan persekutuan (tanpa tol) sedia ada di seluruh Malaysia yang diselia oleh KKR adalah sepanjang 18,117.102 kilometer bagi tahun 2024.
Ia akan meningkat setiap tahun dengan siapnya pembinaan projek jalan baharu seperti yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).
“Pelan pembangunan negara sangat menitikberatkan pembinaan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan selesa. Ini bagi menjamin mobiliti, aksesibiliti dan ketersambungan rakyat terhadap apa jua inisiatif kerajaan di mana sahaja mereka berada.
“Penyenggaraan jalan perlu dilaksanakan bagi mengekalkan tahap prestasi aset, komponen dan keadaan asal dari segi ciri-ciri geometri serta kekuatan struktur,”ujarnya.
Beliau berkata, kerja-kerja penyenggaraan jalan persekutuan dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan setiap tahun kepada KKR namun sering kali amat terhad berbanding keperluan sebenar.
Tambahnya, kekangan itu mengakibatkan KKR memilih keutamaan lokasi-lokasi yang lebih kritikal dan ini menyebabkan kerja tertunggak (backlog) bagi projek penyenggaraan jalan persekutuan semakin bertambah saban tahun.
KKR berharap peruntukan yang disediakan bagi tahun 2025 dapat menangani kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan demi keselamatan dan keselesaan pengguna serta mencapai tahap piawaian.
Sementara itu, sebanyak RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui Kerja Undi dan Arahan Kerja untuk memastikan mereka terus berdaya saing.
Jelasnya, ia sejajar dengan konsep ‘Whole of Government’ yang diangkat sebagai salah satu tonggak Malaysia Madani berteraskan kesamarataan akses, nilai dikongsi bersama serta upaya keprihatinan kerajaan di atas kesukaran penggiat industri.
Dalam perkembangan lain, KKR turut memberitahu, peruntukan sebanyak RM200,000 kepada setiap 115 jurutera daerah telah dinaikkan. Katanya, ia merupakan langkah penting yang telah diambil oleh KKR untuk memperkasa khidmat jurutera daerah di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!