Air mata iringi kejayaan emas Nur Ain Kemilia
PELBAGAI cabaran termasuk kehilangan orang tersayang menyebabkan air mata mengiringi kejayaan Nur Ain Kemilia Sukri yang meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Atlet boling padang Terengganu itu berkata, pemergian ibu tersayang, Allahyarham Karniza Abdul Ghani akibat kanser sebelum Sukma 2022 disusuli bapa saudara, Mohd Shapawi Abdul Ghani tahun ini memberi tamparan tatkala beliau giat membuat persiapan bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu.
"Jadi, saya tekad untuk menang emas untuk mereka dan Terengganu.
"Lagipun, ini adalah Sukma terakhir saya, saya mahu mencipta satu kejayaan yang bermakna,” katanya ketika ditemui di Arena Lawn Bowls di sini pada Jumaat.
Atlet berusia 21 tahun dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu mengungguli acara singles wanita selepas mengalahkan atlet Selangor, Nur Najla Damia Mustakim 20-11.
Sementara itu, Nur Ain Kemilia berharap kejayaan hari ini dapat memikat hati barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sekali gus memenuhi impiannya untuk mewakili negara di pentas lebih besar.
"Saya tidak pernah dipanggil mewakili negara tetapi kalau ada rezeki kali ini, saya akan terima dengan hati terbuka.
"Sudah tentu impian setiap atlet adalah untuk mewakili negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!