Jumlah belia dalam penjawat awam perlu ditambah - MBM
SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap kerajaan dapat meningkatkan jumlah belia dalam kalangan penjawat awam pada masa akan datang.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, jumlah penjawat awam dalam kalangan belia berumur 30 tahun ke bawah kurang 10 peratus di kebanyakan kementerian, termasuk kerajaan negeri berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
"Diharapkan juga kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan setiap keluhan penjawat awam yang berkhidmat untuk memastikan negara sentiasa berada di hadapan.
"MBM juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pelarasan gaji untuk penjawat awam yang pastinya dinanti-nantikan berikutan tiada kenaikan gaji sejak 12 tahun lalu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus kepada kumpulan pelaksana serta pengurusan dan profesional, manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi.
Perdana Menteri dilapor berkata, pelaksanaan tersebut dibuat secara bertahap dan berfasa iaitu fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026.
Dalam pada itu, Mohd Izzat berpandangan, kenaikan yang diumumkan itu membuktikan kerajaan menitik beratkan kebajikan penjawat awam terutama kumpulan pelaksana.
"Kenaikan ini wajar dilaksanakan kerana penjawat awam berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi terutama belia yang baru memulakan hidup dan tinggal di bandar besar serta mempunyai anak yang ramai.
"Selepas inisiatif ini dilaksanakan, diharapkan penjawat awam akan dapat meningkatkan kesejahteraan hidup sekali gus dapat menghasilkan mutu kerja yang lebih berkualiti," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!