Warga asing bawah umur jadi buruh paksa diselamatkan

Petugas JIM memeriksa kumpulan warga asing dalam satu operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua buah premis restoran, di Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Foto: JIM.
Petugas JIM memeriksa kumpulan warga asing dalam satu operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua buah premis restoran, di Shah Alam, Selangor pada Khamis. Foto: JIM.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga asing bawah umur disyaki dieksploitasi menjadi buruh paksa berjaya diselamatkan dalam satu operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua buah premis restoran, di sini pada Khamis.

Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu yang dilakukan jam 10.30 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Timbalan Ketua Pengarah JIM (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, operasi tersebut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperolehi daripada sumber aduan, terdapat sejumlah warga asing yang tidak mempunyai pas yang sah diambil bekerja dan disyaki terdapat elemen pemerdagangan orang.

Kata beliau, operasi dijalankan turut menahan 14 warga asing melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan ia terdiri daripada empat lelaki serta seorang wanita warganegara Myanmar, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia serta tiga lelaki warga India.

Sebahagian daripada kumpulan warga asing ditahan menerusi satu operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua buah premis restoran, di Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Foto: JIM.
Sebahagian daripada kumpulan warga asing ditahan menerusi satu operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua buah premis restoran, di Shah Alam, Selangor pada Khamis. Foto: JIM.

"Semasa operasi dijalankan, seorang pekerja yang menyedari kehadiran pegawai JIM bertindak melarikan diri, namun berjaya diberkas semula.

"Hasil pemeriksaan telah menahan dua majikan warganegara Malaysia dan empat saman saksi telah dikeluarkan kepada individu yang dikenal pasti untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Jafri berkata, JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) iaitu memperdagangkan orang yang merupakan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa memandang serius perkara seumpama itu dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

Katanya, sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan boleh dijatuhi hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

"JIM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat berhubung jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA dengan menghubungi talian 03-88801471 melalui email, urusetia_p@imi.gov.my," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!