PLBM mahu boling padang kembali semua dalam Podium
PRESIDEN Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN), memasukkan semula boling padang ke Program Podium.
Katanya, ini susulan kedudukan dua atlet boling padang negara berada pada kedudukan tiga terbaik dunia, yang juga merupakan kedudukan terbaik yang pernah dicapai Malaysia sejak Sistem Ranking World Bowls Series ini diperkenalkan oleh World Bowls iaitu badan dunia sukan itu.
Jelasnya, atlet boling padang lelaki negara Izzat Shameer Dzulkeple yang kini kedua terbaik dunia, manakala Nor Farah Ain Abdullah pula pada kedudukan ketiga dunia.
“Adalah penting untuk kita menyediakan kemudahan latihan dan sistem sokongan, membolehkan kita dapat menyediakan lebih ramai atlet untuk menyertai kejohanan antarabangsa yang diiktiraf oleh World Bowls dan menyumbang mata kepada sistem ranking ini.
“Bagi tujuan itu, saya masih berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara dapat mengembalikan mereka ke Program Podium,” katanya.
Boling padang sebelum ini sudah berada dalam Program Podium ketika persiapan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, tetapi dikeluarkan kerana sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!