Zoo Johor dibuka semula 31 Ogos ini

Onn Hafiz (tiga, kanan), melihat unta yang ada di Zoo Johor.
Onn Hafiz (tiga, kanan), melihat unta yang ada di Zoo Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Jumaat, mengumumkan bahawa Zoo Johor akan dibuka secara rasmi kepada umum pada 31 Ogos 2024.

Menurut Onn Hafiz, pembukaan semula Zoo Johor adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim termasuk Kurniaan haiwan peliharaan Istana Johor seperti Harimau Belang, Tapir dan Berulang Matahari kepada Zoo Johor.

Tambah Onn Hafiz, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian pembukaan Zoo Johor pada 28 Ogos 2024.

"Pembukaan Zoo Johor ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh bangsa Johor, tetapi oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Pembangunan semula Zoo Johor merupakan inisiatif kerajaan negeri Johor untuk menjadikanya sebagai antara tarikan dan produk pelancongan keluarga di negeri Johor dengan jumlah peruntukan yang dibelanjakan sejumlah RM9.67 juta bagi kerja-kerja menaik taraf.

"Selain itu, pembangunan semula Zoo Johor ini juga merupakan agenda kerajaan negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026," katanya.

Onn Hafiz berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program Walkabout Sempena Pembukaan Semula Zoo Johor, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Zoo Johor di tutup hampir tiga tahun akibat pandemik Covid-19 termasuk kerja-kerja naik taraf zoo berkenaan.

Zoo Johor yang berkeluasan 4.73 hektar (11.70 ekar) dan merupakan zoo tertua di negara ini memiliki 53 spesis haiwan.

Tambah Onn Hafiz, sempena pembukaan semula Zoo Johor, kerajaan negeri akan memberikan potongan 50 peratus bagi tiket dewasa dan percuma bagi kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) selama sebulan iaitu mulai 31 Ogos hingga 30 September 2024.

"Harga tiket sebenar adalah RM10 bagi dewasa (warganegara), RM5 (pemegang MyKid lima - 12 tahun), RM5 (pemegang MyKad, 60 tahun ke atas dan percuma bagi OKU (pemenang MyKad).

"Bagi pelancong asing pula, tiket adalah berharga RM30 bagi umur lima tahun ke atas dan percuma bagi bawah lima tahun.

Sebagai makluman, pengunjung Zoo Johor juga boleh menggunakan perkhidmatan shuttle bus yang disediakan pihak Pengangkutan Johor (PAJ), di mana empat shuttle bus disediakan dengan kekerapan 15 minit.

Perkhidmatan shuttle bus ini akan bermula di tempat letak kenderaan Penjara Ayer Molek dan drop off Zoo Johor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!