Pemandu lori didakwa tolak teman wanita dari tingkat 23 layak dibicarakan
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Shah Alam dimaklumkan hari ini bahawa pemandu lori yang didakwa membunuh kekasihnya dengan menolak wanita warga Thailand itu dari tingkat 23 sebuah kondomium pada Februari lepas, layak untuk dibicarakan.
Peguam Sivahnanthan Ragava mewakili V. Nathan, 37, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memberitahu Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali bahawa menurut laporan penilaian psikiatri oleh Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, tertuduh dalam keadaan mental yang stabil ketika insiden, justeru layak untuk dibicarakan.
"Mahkamah menetapikan 24 Oktober untuk sebutan semula kes,” kata peguam itu yang dibantu Cyrus Tiu Foo Woei.
Pada April, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri susulan permohonan dibuat Sivahnanthan bahawa tertuduh menunjukkan kesukaran untuk mengikut arahan dan memberikan kerjasama dalam prosiding pertuduhan bunuh yang dihadapinya.
Nathan berdepan pertuduhan membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH, Setia Alam, pada 10.02 pagi, 28 Februari.
Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau sekiranya tidak dihukum mati, dipenjara hingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!