'Ahmad Zahid mungkin tak tahu kesusahan rakyat' - Muhyiddin
GUA MUSANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa mungkin tidak tahu akan kesusahan rakyat apabila menganggap isu nasional pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri tidak akan mempengaruhi undi pemilih.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sendiri mendengar keluhan rata-rata rakyat mengenai penyasaran subsidi diesel dan harga barang sepanjang beberapa hari berkempen.
“Saya duduk sini beberapa hari secara langsung (dengar) rakyat mengatakan keresahan, kesulitan berhubung dengan masalah kehidupan mereka dan masalah kos sara hidup.
“Kos sara hidup itu isu nasional dan dalamnya mengandungi soal harga barang yang naik melambung, minyak diesel telah ditarik subsidi kesannya kepada banyak sektor,” katanya ketika ketika ditemui pada kempen PRK Nenggiri di Sungai Terah.
Ahmad Zahid pada Khamis dilaporkan melihat pengundi di PRK Nenggiri tidak terpengaruh dengan isu-isu nasional yang dibawakan oleh lawan sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, rakyat di DUN itu sangat bijak apabila setiap isu yang dimainkan tidak melekat dalam pemikiran mereka.
Muhyiddin menegaskan, beliau juga tidak pasti keadaan sebenar yang dilihat Ahmad Zahid ketika ini.
“Bila Ahmad Zahid cakap begitu saya tak pasti sama ada beliau tahu atau tidak apa yang dirasai pengundi-pengundi di sini. Ini pandangan saya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, isu nasional yang turut memberi kesan kepada rakyat ialah mengenai peluang pekerjaan serta pelaburan yang berkait dengan dasar kerajaan dan tidak disebut Ahmad Zahid.
“Mungkin beliau tidak sebut yang itu tapi (rakyat) menghadapi masalah dan masalah itu ada kaitan dengan dasar kerajaan pusat,” katanya.
Malahan, katanya, rakyat tidak melihat satu tindakan yang berkesan dilakukan kerajaan untuk menangani masalah mereka.
Dakwanya, ekoran itu rakyat juga menyifatkan kerajaan lemah dan gagal.
“Jadi ini bagi saya petanda bahawa rakyat berpendapat dasar kerajaan pusat tidak membantu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!