Kes pukul pemandu OKU: Suhakam desak AGC percepat prosiding jenayah

Penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa undang-undang tidak boleh diterima dan bertentangan prinsip keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa undang-undang tidak boleh diterima dan bertentangan prinsip keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa undang-undang tidak boleh diterima dan bertentangan prinsip keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan dan perlindungan undang-undang sekali gus menjadi prinsip yang harus dipatuhi semua pihak termasuk polis dan Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Kami mendesak AGC, sebagai penjaga kesedaran awam dan badan yang bertanggungjawab untuk pendakwaan jenayah, mempercepatkan prosiding jenayah dalam kes ini.

"Ia adalah kes serangan yang jelas di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kelewatan dalam menangani insiden serius boleh merosakkan keyakinan awam terhadap institusi yang bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, anggota polis pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di ibu negara pada Mei lalu sudah dikenakan tindakan tatatertib.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan, tindakan sudah diambil ke atas anggota terbabit oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas siasatan dijalankan.

Dalam pada itu Suhakam turut menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan tersebut ekoran tiada butiran lanjut seperti jenis hukuman yang dikenakan melalui tindakan tatatertib berkenaan.

Menurutnya, kepentingan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam pengendalian kes tersebut perlu ditekankan bagi memastikan mangsa diberi pembelaan dan keadilan sewajarnya dengan segera.

Artikel Berkaitan:

"Keadilan yang lewat adalah keadilan yang dinafikan. Orang ramai berhak untuk dimaklumkan tentang perkembangan kes ini dan kami menyeru AGC memberikan kemas kini secara berkala mengenai tindakan yang diambil.

"Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk latihan yang sesuai bagi pegawai penguatkuasa undang-undang seperti yang diamanahkan oleh Perkara 13(2) CRPD (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya) untuk memastikan OKU dilindungi daripada keganasan, penyalahgunaan kuasa dan mempunyai akses tanpa halangan kepada keadilan.

"Dengan mengambil tindakan segera dan telus, polis dan AGC boleh mengurangkan kebimbangan awam bahawa penyalahgunaan kuasa tidak diterima serta hak dan martabat semua individu terutama mereka dengan keperluan khas, akan dihormati dan dilindungi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!