20,259 pengundi jadi penentu kemakmuran Nenggiri

SPR menjangkakan 60 peratus keluar mengundi pada PRK Nenggiri kali ini.
SPR menjangkakan 60 peratus keluar mengundi pada PRK Nenggiri kali ini.
A
A
A

KURANG 15 jam lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bakal mendapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu.

Pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung hari ini memperlihatkan pertembungan sengit satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Seperti sedia maklum, BN atau Kerajaan Perpaduan diwakili Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PN mempertaruhkan Mohd Rizwadi Ismail.

Kedua-duanya dijadualkan mengundi di lokasi sama di Tabika Sri Bakawali iaitu Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Lama.

Meninjau penulisan serta pemerhatian di lapangan oleh penganalisis politik tempatan, rata-rata menjangkakan kedua-dua calon mempunyai peluang sama banyak atau 50-50.

BN dengan sejarah lama di kawasan tersebut, mempunyai kelebihan dari segi sokongan tradisional dan jentera parti.

Namun parti itu dijangka berhadapan cabaran imej negatif dan persepsi mengenai hubungan dengan Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya bagi PN, dengan membawa aura kemenangan pada PRK Sungai Bakap baru-baru ini, dilihat mampu meraih sokongan daripada generasi muda.

Artikel Berkaitan:

Selain menggunakan pendekatan agresif dalam isu kaum dan agama, pakatan itu digambarkan sedaya upaya berusaha untuk mengekalkan kuasa dalam pentadbiran negeri Kelantan.

Walau apa pun yang berlaku atau siapa sahaja yang diangkat sebagai YB baharu, hasil PRK ini nanti penting kerana boleh memberi gambaran mengenai perubahan landskap politik negeri Che Siti Wan Kembang dan Malaysia.

Yang lebih penting, individu dipilih perlu memastikan kepercayaan yang diamanahkan rakyat tempatan menerusi kertas undi dipikul sebaiknya.

Jangan pula sudah jadi YB, lupa tanggungjawab membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran kerajaan negeri.

Selamat menunaikan tanggungjawab buat 20,259 pengundi berdaftar DUN Nenggiri. Anda adalah penentu limpahan kemakmuran di kawasan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!