Penjawat awam rasuah membimbangkan

Tindakan tegas SPRM mengheret pesalah-pesalah rasuah ke muka pengadilan membuktikan komitmen jitu suruhanjaya itu memerangi rasuah di negara ini. Gambar kecil: Mohamad Tarmize
Tindakan tegas SPRM mengheret pesalah-pesalah rasuah ke muka pengadilan membuktikan komitmen jitu suruhanjaya itu memerangi rasuah di negara ini. Gambar kecil: Mohamad Tarmize
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan rasuah tidak mengenal siapa pelakunya dan sesiapa sahaja boleh terlibat dalam jenayah berat tersebut.

Ia juga tidak hanya menjurus kepada mana-mana pihak atau agensi penguatkuasaan, rasuah merupakan isu global yang boleh membabitkan individu biasa sehinggalah kepada barisan tertinggi kepimpinan kerajaan dan organisasi.

Namun, isu rasuah kebanyakannya dikaitkan dengan penjawat awam berdasarkan laporan siasatan serta pembongkaran yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut SPRM, penglibatan penjawat awam dalam jenayah rasuah di negara ini adalah membimbangkan.

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, rasuah dalam perkhidmatan kerajaan seakan-akan seperti tiada kesudahan dan hampir setiap hari ada sahaja penjawat awam ditangkap kerana penglibatan dalam isu rasuah.

Kata beliau, akal fikiran yang waras bagaikan tidak percaya dengan tindakan khianat yang dilakukan oleh penjawat awam terhadap bidang tugas diamanahkan.

“Namun itulah hakikat yang berlaku dalam pentadbiran negara apabila ada sahaja penjawat awam ditangkap kerana terlibat dengan rasuah.

“Setiap kali berlaku tangkapan, persoalan yang pasti bermain di bibir masyarakat, adakah mereka yang terlibat ini tidak takut dengan undang-undang?

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana perbuatan mereka ini tidak diketahui oleh penyelia atau ketua jabatan? Adakah ketua mereka juga terlibat? Semua ini menjadi pertanyaan dalam masyarakat tentang tugas yang diamanahkan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tegasnya, apabila semakin ramai penjawat awam ditangkap, maka semakin ramailah masyarakat mempertikaikan tahap integriti dan moral penjawat awam.

Beliau memberitahu, statistik tangkapan yang dilaksanakan oleh SPRM mendedahkan tahap keseriusan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Bukan sahaja penerangan bahaya rasuah dilakukan kepada pelajar peringkat sekolah menengah, malah program bersama anak-anak kecil turut digerakkan SPRM bagi membentuk budaya positif dalam diri generasi muda.
Bukan sahaja penerangan bahaya rasuah dilakukan kepada pelajar peringkat sekolah menengah, malah program bersama anak-anak kecil turut digerakkan SPRM bagi membentuk budaya positif dalam diri generasi muda.

Jelasnya, berdasarkan statistik SPRM bermula pada 2019 hingga 2023, seramai 2,163 penjawat awam ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah.

Katanya, jumlah tersebut mewakili 43.3 peratus daripada keseluruhan tangkapan iaitu 4,996 individu dalam tempoh yang sama.

“Daripada bentuk kesalahan rasuah, sebanyak 1,347 orang penjawat awam atau 62.2 peratus ditangkap kerana meminta dan menerima suapan.

“Sementara itu, sejumlah 463 penjawat awam atau sebanyak 21 peratus ditangkap kerana membuat tuntutan palsu, manakala 241 orang penjawat awam atau 11 peratus ditahan kerana salah guna kuasa.

“Hanya satu peratus atau 21 orang penjawat awam ditangkap kerana menawar dan memberi suapan, manakala baki daripada jumlah keseluruhan ditangkap kerana kesalahan lain,” ujarnya.

Beliau berkata, pembabitan penjawat awam dalam jenayah rasuah telah memburukkan imej perkhidmatan kerajaan.

Tambahnya, isu rasuah dalam kalangan penjawat awam merencatkan prestasi penyampaian, menjejaskan keselamatan awam serta menyebabkan ketirisan hasil negara.

Beliau berkata, penjawat awam yang terlibat rasuah adalah mereka yang tidak sayangkan diri, keluarga dan kerjaya masing-masing.

“Adakah berbaloi memperoleh banyak wang daripada aktiviti rasuah tetapi hati sentiasa dibelenggu kerisauan?

“Sekadar mengingatkan penjawat awam yang belum ditangkap SPRM atau sedang berjinak-jinak dengan rasuah, anda bila-bila sahaja boleh ditangkap.

“Beringat sebelum terkena dan ingat mereka yang tersayang, jangan menyesal di kemudian hari,” ujarnya.

Ganjaran RM100,000

Mohamad Tarmize berkata, kerajaan juga amat menghargai penjawat awam berintegriti yang menolak rasuah dan melaporkan perbuatan jijik itu kepada SPRM.

Katanya, pada 11 Mei 2011, Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan surat pekeliling bahawa kerajaan memberi pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.

Menurut beliau, inisiatif kerajaan itu bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk melaporkan rasuah, seterusnya mengiktiraf penjawat awam yang mempamerkan integriti tinggi dalam menangani tawaran rasuah.

“Melalui surat pekeliling ini, penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan.

“Nilai ganjaran adalah bergantung kepada nilai rasuah yang ditawarkan.

“Ini kerana kebanyakan kes, nilai ganjaran adalah sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga ini, seramai 514 orang penjawat awam telah menerima pengiktirafan tersebut.

Kata beliau, jumlah ganjaran yang telah diberi kepada penjawat awam terbabit sebanyak RM1.03 juta.

Selain itu, menurut beliau, penjawat awam terbabit juga diberikan sijil penghargaan dan boleh dipertimbangkan untuk pencalonan anugerah pingat peringkat persekutuan atau negeri.

Berdasarkan data SPRM, kata beliau, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan rekod paling ramai menerima pengiktirafan tersebut iaitu 349 orang dengan nilai ganjaran sebanyak RM495,268.

“Ia diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 53 orang dan nilai ganjaran berjumlah RM104,715, seterusnya Maritim Malaysia sebanyak 25 orang dengan nilai ganjaran RM123,450.

“Seterusnya adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) seramai 17 orang dengan nilai ganjaran RM155,200 dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 11 orang dengan nilai ganjaran berjumlah RM5,800,” ujarnya.

Beliau memberitahu, untuk rekod, ganjaran tertinggi yang pernah diterima oleh seorang penjawat awam kerana melaporkan rasuah adalah sebanyak RM100,000.

INFO

Kesan buruk terlibat rasuah:

1) Boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda sebanyak lima kali nilai suapan.

2) Hilang kelayakan bayaran pencen penjawat awam.

3) Harta daripada aktiviti rasuah akan disita dan diserahkan kepada kerajaan.

4) Identiti pesalah rasuah akan dipaparkan di portal rasmi SPRM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!