Pemanas badan sebelum final Piala FA

Pemain-pemain Selangor FC di Stadium Merdeka. Foto Selangor FC
Pemain-pemain Selangor FC di Stadium Merdeka. Foto Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC mahu memanfaatkan perlawanan Piala Sultan Selangor 2024 sebagai pentas pemanas badan sebelum membuka gelanggang perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu depan.

Malah, jelas pengendali Selangor, Nidzam Jamil berharap semua pemain The Red Giants dapat menterjemahkan keputusan perlawanan dalam bentuk positif sebagai hadiah kepada semua penyokong.

“Pilihan Selangor dalam Piala Sultan Selangor 2024 akan diwakili pasukan Liga Super Selangor FC. Ini satu penghormatan kepada Selangor FC apabila diberikan peluang beraksi, yang seharusnya diambil sebaik mungkin setiap pemain sebagai pemanas badan sebelum final Piala FA.

“Paling penting perlawanan kompetitif ini juga pentas untuk pemain-pemain mendapatkan mood selain kembali ke prestasi sebenar masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Ditanya mengenai penampilan Faisal Halim dalam perlawanan tersebut, Nidzam berkata, Faisal diturunkan atau sebaliknya bergantung kepada situasi semasa.

"Namun saya beri jaminan bahawa kesebelasan terbaik Selangor FC akan diturunkan dalam perlawanan ini," katanya.

Kejuaraan Piala Sultan Selangor 2024 yang berlangsung di Stadium Merdeka bakal menyaksikan perlawanan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura sebelum Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura.

Selepas Piala Sultan Selangor 2024, anak buah Nizam akan bersiap berdepan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!