Bagaimana jumlah korban di Gaza dikira?
RAFAH - Gaza yang menyaksikan sebahagian besarnya musnah selepas konflik Hamas-Israel yang memasuki tempoh 10 bulan, Kementerian Kesihatan Wilayah Gaza masih bergelut mengira jumlah kematian yang sehingga kini telah melepasi 40,000 orang.
Sebelum ini, Israel berulang kali mempersoalkan kredibiliti jumlah korban harian yang diletakkan kementerian itu manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden juga membuat perkara sama semasa perang bermula.
Tetapi beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beroperasi di Gaza berkata angka itu sememangnya boleh dipercayai dan ia sering dipetik oleh organisasi antarabangsa.
Pengumpulan data
Dua wartawan AFP menyaksikan kemudahan kesihatan memasukkan jumlah kematian dalam pangkalan data kementerian tersebut.
Pada peringkat awal, pegawai kesihatan Gaza mengenal pasti mayat menerusi pengecaman visual daripada saudara atau rakan atau dengan memeriksa barangan peribadi mangsa.
Butiran si mati, termasuk nama, jantina, tarikh lahir dan nombor pengenalan diri yang kemudiannya dimasukkan ke dalam pangkalan data digital kementerian kesihatan itu
Jika mayat tidak dapat dikenali atau tidak dituntut, kakitangan merekodkan kematian menggunakan nombor selain mencatat semua maklumat yang ada pada si mati.
Sebarang tanda pembezaan pada si mati mungkin boleh membantu selepas itu seperti kaedah penelitian barangan peribadi atau tanda lahir yang semuanya dikumpul dan kemudian diambil gambar.
Pendaftaran berpusat
Kementerian kesihatan Gaza telah menggariskan prosedurnya untuk menyusun jumlah kematian.
Di hospital awam di bawah pengawasan langsung kerajaan Hamas wilayah itu, maklumat peribadi dan nombor identiti setiap rakyat Palestin yang terbunuh semasa perang akan dimasukkan ke dalam pangkalan data hospital sebaik sahaja mereka disahkan meninggal dunia.
Data tersebut kemudiannya dihantar ke pusat pendaftaran kementerian setiap hari.
Manakala bagi kematian di hospital dan klinik swasta, maklumat direkodkan pada borang yang mesti dihantar kepada kementerian dalam tempoh 24 jam untuk dimasukkan ke dalam sistem pedaftaran berpusat.
Pusat maklumat kementerian kemudian mengesahkan data bagi memastikan ia tidak bertindih atau tersilap, sebelum menyimpannya dalam pangkalan data.
Penduduk Gaza juga digalakkan oleh pihak berkuasa Palestin untuk melaporkan sebarang kematian dalam keluarga mereka di laman web kerajaan yang ditetapkan. Data tersebut digunakan untuk pengesahan oleh kementerian.
Pada masa sama, kementerian itu mempunyai kakitangan awam yang akan memberi maklum balas kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat serta kerajaan Hamas di Gaza.
Hubung kait data
Siasatan yang dijalankan oleh Airwars, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada kesan perang terhadap orang awam, menganalisis kemasukan data untuk 3,000 orang yang mati dan mendapati ia mempunyai hubung kait yang tinggi atau tepat antara data kementerian dan apa yang dilaporkan oleh orang awam Palestin dalam talian.
Kajian itu juga mendapati bahawa angka kementerian telah menjadi 'kurang tepat' ketika perang berlarutan, yang dianggap 'kesilapan teknikal' dikaitkan dengan kerosakan teruk pada infrastruktur kesihatan akibat perang.
Sebagai contoh, di Hospital Nasser di selatan Gaza, salah satu daripada sebilangan kecil hospital yang masih berfungsi telah mendapati hanya 50 daripada 400 komputer masih berfungsi.
Pejabat akhbar kerajaan Hamas Gaza sebelum ini menganggarkan bahawa hampir 70 peratus daripada kira-kira 40,000 yang terkorban adalah wanita iaitu seramai 11,000 atau kanak-kanak seramai 16,300 orang.
Beberapa agensi PBB, termasuk agensi yang bertanggungjawab terhadap pelarian Palestin (UNRWA) berkata, angka yang dilaporkan kementerian itu boleh dipercayai.
"Pada masa lalu, lima dan enam kitaran konflik di Genting Gaza dan angka ini dianggap boleh dipercayai dan tiada siapa yang benar-benar mencabar angka ini," kata ketua UNRWA, Philippe Lazzarini pada Oktober lalu.
Dalam surat yang diterbitkan oleh ulasan perubatan British The Lancet pada bulan Julai, sekumpulan penyelidik menganggarkan bahawa 186,000 atau lebih kematian boleh dikaitkan dengan perang di Gaza.
Ia berdasarkan unjuran statistik menggunakan angka Kementerian Kesihatan. Anggaran tersebut bukan sahaja mereka yang terbunuh secara langsung oleh pertempuran, tetapi juga kematian akibat krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh perang itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!