IKN bandar golongan elit?
BALIKPAPAN - Tidak lama selepas Ruth Anita Koraag dan Setiyo Indro Purnomo melangsungkan perkahwinan kira-kira 16 tahun lalu, suaminya membina teratak kecil buat mereka di Balikpapan, sebuah bandar pelabuhan di Kalimantan Timur.
Kediaman mereka juga dijadikan sebagai gereja buat komuniti Kristian di kawasan itu.
Kira-kira dua tahun lalu, hidup mereka mula berubah apabila dimaklumkan pihak berkuasa supaya berpindah dari lokasi tersebut bagi memberi laluan kepada projek lebuh raya di kawasan berhampiran.
Laluan itu dikatakan menghubungkan Balikpapan dengan Ibu Kota Nusantara (IKN).
Menurutnya, pemerintah turut menawarkan pampasan berjumlah 1.3 bilion rupiah (RM395,300), namun pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata itu mendakwa ia tidak cukup untuk menampung kos membeli rumah baharu.
“Di mana kami mahu tinggal jika diusir selepas menerima wang pampasan itu. Adakah kami perlu membina rumah baharu semula? Kasihan suami saya,” kata Ruth, 41, dalam nada sedih.
Sejak kebelakangan ini, bunyi bising jengkaut dan pelbagai mesin semakin mengganggu ketenteraman komuniti berkenaan dan keluarganya memandangkan jarak rumah mereka hanya kira-kira 50 meter.
Setiyo juga menyatakan rancangan untuk membina gereja baharu bukanlah perkara yang mudah kerana syarat tertentu yang ditetapkan pemerintah memandangkan Indonesia adalah sebuah negara majoriti Muslim.
Pelan awal pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Nusantara adalah pada tahun ini, malah sambutan Hari Kemerdekaan pada Sabtu juga bakal diraikan di sana.
Ketika projek beberapa infrastruktur sedang giat dijalankan, kebimbangan telah timbul tentang sejauh mana IKN akan memberi manfaat kepada semua pihak atau ia semata-mata projek mega golongan elit.
Beri impak negatif
Segelintir penduduk di Balikpapan berasa projek IKN yang menelan kos berjumlah kira-kira AS$30 bilion (RM138.6 bilion) tidak memberi apa-apa kelebihan kepada mereka.
Fasa pertama meliputi pembinaan Istana Presiden dan beberapa kementerian serta infrastruktur asas seperti jalan raya dan perumahan dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.
Peringkat akhir projek mega itu pula dijadualkan siap menjelang 2045 dengan IKN dihubungkan dengan bandar sekitar seperti Balikpapan dan Samarinda.
Jarak memandu dari Balikpapan ke Nusantara pula mengambil masa kira-kira dua jam, namun pemerintah cuba memendekkan tempoh itu dengan pembinaan lebuh raya baharu.
Setiyo berkata, pada mulanya dia menyokong langkah pemindahan ibu kota ke Kalimantan kerana ia diharap dapat meningkatkan peluang ekonomi memandangkan wilayah Kalimantan Timur hanya berpopulasi kira-kira 3.7 juta penduduk berbanding 10.5 juta orang di Jakarta.
“Saya berharap ia tidak akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar atau penduduk setempat. Kami sudah mula merasai 'impak' ibu kota baharu tersebut.
“Anak-anak saya sendiri mengalami kesan psikologi akibat bunyi bising pembinaan lebuh raya tersebut yang berterusan dari jam 8 pagi hingga 10 malam.
“Ada sebahagian rumah penduduk turut retak kerana projek itu. Setiap hari, kami berdepan debu tebal hingga menyebabkan ada yang jatuh sakit dan batuk-batuk,” jelasnya.
Pilih kasih?
Ketika pembangunan IKN diumumkan buat pertama kali, seorang wartawan veteran dari Balikpapan memberitahu beliau amat teruja untuk melaporkan perkembangan projek itu.
Beliau turut menyambut baik prospek hospital dan sekolah lebih baik yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk.
Tetapi, ia jelas indah khabar dari rupa kerana berdepan kesukaran untuk membuat liputan tentang IKN.
Menurut wartawan yang enggan identitinya didedahkan, segala soalan yang diajukan kepada pihak berkuasa tidak dijawab dan petugas media tempatan jarang menerima undangan untuk menghadiri majlis yang ada kaitan dengan ibu kota baharu tersebut.
“Sebagai contoh, pertanyaan tentang bagaimana kami mahu melaporkan tentang sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos depan juga masih gagal terima sebarang jawapan walaupun acara itu semakin hampir.
“Sambutan di IKN adalah satu detik bersejarah. Sudah semestinya semua petugas media enggan terlepas acara itu,” keluhnya.
Tambahnya, pihak berkuasa berkaitan juga seakan-akan lepas tangan dan lebih memberi keutamaan kepada wartawan berpusat di Jakarta.
“Ia menguatkan lagi persepsi orang ramai bahawa Nusantara sememangnya untuk golongan elit,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!