Bayi 3 bulan alami jangkitan otak, ibu mohon doa orang ramai
SHAH ALAM - Seorang ibu memohon orang ramai mendoakan kesembuhan bayi lelakinya berusia tiga bulan yang mengalami jangkitan otak.
Menerusi perkongsian di Facebook, ibunya yang dikenali Izzah Syazwani memaklumkan anaknya kini sedang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
"Mohon doa dari semua semoga di hari Jumaat yang berkah ini, Muhammad Khasyah Imaleeq kuat menghadapi saat-saat gentir.
"Allahuakbar... aku serahkan segala-galanya ketentuan ini Ya ALLAH, bertahan anakku. Ibu tunggu adik," katanya pada Jumaat.
Difahamkan, Muhammad Khasyah Imaleeq pada mulanya mengalami demam panas namun setelah dibuat pemeriksaan oleh doktor pakar, dimaklumkan bayi berkenaan menghidapi jangkitan bahagian otak.
Pihak hospital akan menjalankan pembedahan dalam masa terdekat.
Sementara itu, menurut perkongsian pengguna Facebook Rizal van Dhani, bayi berkenaan merupakan anak kepada sahabatnya.
Ujarnya, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi perbankan secara atas talian di nombor akaun 1110029001050241 (BSN) bernama Mohd Khairul Hafsyan.
"Sedikit pun amat besar bagi penerima yang bekerja sendiri iaitu buruh binaan, bagi meringankan beban beliau. Insya-ALLAH," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!