Manchester United tangga teratas EPL
MANCHESTER United menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tempoh beberapa jam selepas menewaskan Fulham 1-0 di laman sendiri, awal pagi Sabtu.
Perlawanan di Old Trafford itu adalah aksi pembuka tirai kempen EPL bagi musim 2024/25.
Ia juga aksi kompetitif pertama The Red Devils di bawah kendalian Erik ten Hag yang memeterai kontrak baharu dengan kelab tersebut sehingga 2026.
Ten Hag yang dikecam susulan aksi buruk musim lalu hanya membuat satu perubahan dalam kesebelasan utama berdepan Fulham, berbanding ketika tewas kepada Manchester City dalam Perisai Komuniti minggu lalu.
Bagi aksi pertama EPL itu, ten Hag mempertaruhkan pembelian baharu musim panas, Noussair Mazraoui menggantikan Jonny Evans di bahagian pertahanan.
Permulaan perlawanan agak seimbang, dengan kedua-dua pasukan menikmati tempoh penguasaan bola dan mencipta beberapa peluang kecil tanpa benar-benar menguji penjaga gol lawan.
Bruno Fernandes mendapat dua peluang terbaik United di separuh masa pertama, namun percubaannya tepat ke arah Bernd Leno selepas menerima hantaran Casemiro.
Walaupun permainan United masih ada sedikit kekurangan, mereka menunjukkan peningkatan sebagai pasukan yang menekan, memaksa banyak kesilapan dan pertukaran bola ketika perlawanan berlanjutan.
United kelihatan berada pada prestasi terbaik mereka semasa melakukan serangan balas dan hampir mendahului apabila Mason Mount melepaskan rembatan tepat ke arah Leno selepas satu serangan balas yang memukau sejurus perlawanan disambung semula.
Ketika perlawanan berbaki 60 minit untuk ditamatkan, ten Hag membuat percaturan dengan memasukkan penyerang baharu, Joshua Zirzkee dalam penampilan sulungnya di Old Trafford serta Alejandro Garnacho untuk menguatkan jentera serangan.
Fulham sepatutnya menjaringkan gol jika bukan kerana pintasan cemerlang dari Harry Maguire selain tindakan Alex Iwobi yang mensia-siakan peluang keemasan bagi pasukan pelawat.
Akhirnya, United menemui gol kemenangan mereka apabila pemain gantian Zirkzee memulakan dan menyudahkan satu gerakan dengan jaringan cemerlang di hadapan Stretford End untuk memastikan kemenangan pertama musim ini bagi pasukan baharunya.
Tuan rumah sepatutnya mendapat gol kedua pada saat-saat akhir, tetapi rembatan Garnacho 'ke laut' selepas menerima hantaran Marcus Rashford.
Difahamkan, Jadon Sancho yang tidak sebulu dengan ten Hag pada musim lalu tidak disenaraikan dalam perlawanan itu selepas mendapat jangkitan di telinga.
The Red Devils selepas ini berkunjung ke Stadium American Express pada 24 Ogos untuk aksi kedua EPL menentang Brighton yang kini dikendalikan Fabian Hurzeler, 31, yang juga merupakan pengendali termuda dalam sejarah pertandingan EPL.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!