Skim penipuan pelaburan Pantheon Ventures libat kerugian RM14.9 juta

PDRM mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan yang dikenali sebagai ‘Pantheon Ventures’, yang sedang aktif ditawarkan melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram. Gambar hiasan
PDRM mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan yang dikenali sebagai ‘Pantheon Ventures’, yang sedang aktif ditawarkan melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan yang dikenali sebagai ‘Pantheon Ventures’, yang sedang aktif ditawarkan melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan setakat ini mendapati, skim pelaburan ini menawarkan pelaburan yang kononnya berasaskan pasaran saham negara tertentu iaitu Malaysia, Taiwan dan China.

Beliau berkata, keuntungan yang ditawarkan ialah sekitar lapan hingga 23 peratus, bergantung kepada pasaran saham di negara berkaitan dan boleh diperoleh secara mingguan.

"Sejak Julai tahun ini, sejumlah 35 kertas siasatan telah dibuka terhadap skim penipuan ini, melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM14,959,416.76.

"Mangsa-mangsa terlibat terdiri daripada enam orang pesara, empat orang ahli perniagaan, seorang suri rumah, 19 pekerja swasta termasuk seorang pegawai bank dan lima kakitangan kerajaan termasuk dua orang pensyarah,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Ramli berkata, sejumlah 22 akaun bank yang didaftarkan atas pelbagai syarikat dan perniagaan telah dikenal pasti digunakan dalam kegiatan penipuan ini.

Beliau berkata, modus operandi syarikat ini ialah pelabur yang berminat akan dimasukkan ke kumpulan Whatsapp ‘Pantheon Ventures’ dan diberikan bimbingan tentang pasaran saham yang bakal mereka sertai.

"Bagi memulakan pelaburan, pelabur akan diminta untuk membuat pindahan wang ke beberapa akaun syarikat yang disyak sebagai akaun keldai. Pelabur juga diarahkan untuk memuat turun aplikasi ‘Nexus Equity’ atau ‘neeq’ untuk memantau pelaburan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, melalui aplikasi digunakan, pelabur dapat melihat pelaburan mereka menjana keuntungan namun pihak syarikat akan memberikan pelbagai alasan apabila pelabur ingin mengeluarkan keuntungan tersebut.

Beliau berkata, siasatan turut mendedahkan syarikat Pantheon Ventures adalah sebuah syarikat pelaburan tulen berpangkalan di United Kingdom dan telah ditubuhkan sejak tahun 1982, namun syarikat terbabit tidak mempunyai kaitan dengan skim pelaburan ‘Pantheon Ventures' yang ditawarkan melalui media sosial ini.

Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan individu yang menjadi mangsa penipuan skim ini, digesa untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!