[VIDEO] Penjawat awam naik gaji: Kerajaan perlu pantau harga barangan
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu melaksanakan pemantauan dan kawalan ke atas harga barangan dan bahan mentah supaya ia tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu susulan pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan semalam.
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, ia berikutan terdapat kebimbangan bahawa akan berlakunya peningkatan pada harga barangan sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian.
"Kita harapkan apabila berlakunya kenaikan gaji ini, tidak berlaku kesan domino lain sehingga harga barangan dan bahan mentah naik. Ini yang membimbangkan kerana jika ia berlaku, usaha yang dibuat oleh kerajaan akan menjadi sia-sia.
"Kalau kita lihat di negara maju lain, harga barangan tidak naik selama beberapa tahun, cuma nilai wang sahaja yang berubah. Namun, di sini (Malaysia), apabila harga sesuatu meningkat, harga barangan juga akan turut naik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Reformasi Gaji, Reformasi Perkhidmatan’, yang diterbitkan Bernama TV malam tadi.
Justeru, Azih meminta agar pihak kementerian dan agensi berkaitan memantau isu berkenaan agar tidak diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Susulan pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan itu, beliau juga berharap agar warga perkhidmatan awam mampu memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan inklusif kepada rakyat sekali gus, dapat merealisasikan agenda Malaysia Madani.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Beliau berkata pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, pelarasan gaji yang diumumkan kerajaan itu juga secara tidak langsung meningkatkan martabat perkhidmatan awam.
"Sebelum ini, sektor swasta dilihat lebih berprestij oleh kerana gaji dan elaunnya yang lebih tinggi ditambah dengan bonus tahunannya (berbanding sektor awam). Namun, dengan kenaikan ini sektor perkhidmatan awam juga akan dilihat lebih berprestij,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar pihak kerajaan dapat memperkenalkan suatu akta baharu berhubung semakan gaji secara berkala dalam usaha menjaga kebajikan dan imej penjawat awam.
"Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai satu akta khusus mengenai jadual kenaikan gaji. Namun, ia perlu dipertimbangkan dari segi bebanan kewangan dan kemampuan negara, kerana kita tidak dapat meramalkan keadaan negara pada tahun-tahun mendatang.
"Namun, usaha ke arah formulasi satu akta baharu, satu regulasi baharu mengenai kenaikan gaji secara berkala saya fikir ia satu usaha yang perlu disegerakan oleh kementerian berwajib bagi menjaga kebajikan penjawat awam,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!