Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM185.9 juta
KEUNTUNGAN bersih Bursa Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY2019) susut 17 peratus kepada RM185.86 juta daripada RM224.04 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM502.49 juta daripada RM550 juta sebelum ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali bursa saham itu berkata, penyusutan itu disebabkan oleh hasil operasi lebih rendah iaitu berkurangan sebanyak 8.2 peratus kepada RM480.1 juta pada FY2019 berbanding tahun kewangan 2018.
Namun bursa itu telah mengumumkan dividen akhir sebanyak 10.4 sen sesaham bagi FY2019 yang berjumlah kira-kira RM84.1 juta dan dibayar pada 28 Februari.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Malaysia terus memaparkan pertumbuhan jangka panjang dan menawarkan peluang pelaburan menarik walaupun 2019 merupakan tahun yang mencabar.
Menurutnya, indeks sektor tenaga, pembinaan dan teknologi mencatat prestasi positif dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 51 peratus, 34 peratus dan 29 peratus pada 2019.
“Aliran positif dalam kaunter bermodal kecil dan sederhana turut menjadi peluang untuk dimanfaatkan oleh para pelabur," katanya.
Beliau berkata, Bursa Malaysia juga berada di kedudukan kedua di ASEAN meliputi beberapa penyenaraian sekali gus membuktikan kemampuannya dari segi pengumpulan dana secara kukuh.
Malah, katanya, penyertaan runcit mencecah 24.5 peratus pada tahun lepas iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun lepas.
Pada 3 Disember lepas, pasaran modal Bursa Malaysia adalah RM1.7 trilion iaitu peningkatan sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun manakala purata kontrak harian yang didagangkan di pasaran derivatif berkurangan sebanyak dua peratus kepada 55,372 kontrak.
Dari segi prospek, Bursa Malaysia menjangkakan pasaran sekuriti dan derivatif berdepan ketidaktentuan ketara pada tahun ini, susulan perkembangan global dan tempatan seperti krisis dagangan Amerika Syarikat-China dan penularan Novel Koronavirus 2019.
“Tanpa mengambil kira senario di luar jangka, bursa dijangka mendapat manfaat daripada ketidaktentuan itu yang sebaliknya meningkatkan aktiviti di pasaran terbabit.
“Bursa Malaysia akan terus berkembang dan memperkukuhkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan bagi meningkatkan tarikan dan kecemerlangan pasarannya," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!