PRK Nenggiri: Calon BN, PN berpelukan di pusat mengundi

Mohd Azmawi (kiri) dan Mohd Rizwadi berpelukan selepas mengundi pada PRK Nenggiri di Pusat Mengundi Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama pada Sabtu. Foto Bernama
Mohd Azmawi (kiri) dan Mohd Rizwadi berpelukan selepas mengundi pada PRK Nenggiri di Pusat Mengundi Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail yang membuang undi di lokasi sama semasa hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada Sabtu sempat berpelukan ketika mereka bertemu.

Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie dan Mohd Rizwadi yang mesra disapa Ustaz Wadi bersua muka di Pusat Mengundi Tabika Sri Bawakali, Kampung Bertam Lama di sini, kira-kira jam 8.40 pagi.

Mereka turut berkesempatan berbual dan bermesra bersama pengundi ketika proses pembuangan undi berlangsung.

Mohd Azmawi berkata, hubungan beliau dan Mohd Rizwadi sebenarnya rapat kerana tinggal di kawasan sama iaitu Kampung Bertam Lama.

"Jadi walaupun kami bertembung dalam PRK Nenggiri dan berbeza ideologi tapi ukhuwah kita tetap erat.

"Saya dan isteri telah selesai menjalankan tanggungjawab dengan mengundi pagi ini. Saya juga menyeru seluruh pengundi keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih," katanya ketika ditemui pemberita.

Mohd Azmawi Fikri (dua dari kiri) bersama Mohd Rizwadi (dua dari kanan) beramah mesra selepas mengundi pada PRK Nenggiri di pusat mengundi Tabika Sri Bakawali, Bertama Lama. Foto Bernama
Mohd Azmawi Fikri (dua dari kiri) bersama Mohd Rizwadi (dua dari kanan) beramah mesra selepas mengundi pada PRK Nenggiri di pusat mengundi Tabika Sri Bakawali, Bertama Lama. Foto Bernama

Mohd Azmawi dan Mohd Rizwadi masing-masing selesai membuang undi pada jam 8.39 pagi dan 8.58 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mohd Azmawi yang memakai baju batik tiba di pusat mengundi berkenaan dengan ditemani dan memegang erat tangan isterinya yang hamil tujuh bulan, Noorkhamilaa Mohd Zin, 38.

Sementara itu, Mohd Rizwadi, 41, yang bertanding menggunakan logo Pas berkata, pertemuan dengan Mohd Azmawi itu adalah kali pertama selepas dua minggu.

"Kami tidak pernah terserempak semasa berkempen. Saya berharap semua pengundi dapat keluar beramai-ramai untuk mengundi," ujarnya yang hadir dengan diiringi isteri, Che Mariam Che Noh, 41.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyaksikan persaingan dua penjuru antara BN dan PN diadakan berikutan kekosongan kerusi itu selepas penyandang, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 pada Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!