PRK Nenggiri: Pengundi warga emas mahu wakil rakyat dipilih lebih bertanggungjawab
GUA MUSANG - Warga emas yang mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh berharap pemimpin yang mereka pilih kali ini lebih bertanggungjawab dan menjaga kebajikan rakyat.
Mereka juga berpendapat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan satu peluang wakil rakyat baharu membuktikan kebolehan mampu menjaga amanat kerajaan serta rakyat.
Deraman Salleh, 70, berkata, pengundi turut memainkan peranan membuat pilihan terbaik supaya kejadian tidak berulang.
"Pilihan calon penting dan paling utama laksanakan keperluan rakyat. Calon daripada Kerajaan Persekutuan atau calon kerajaan negeri," katanya.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Sementara itu, Shamsiah Ibrahim, 64, tidak melepaskan peluang hadir mengundi bersama anaknya, Mohd Nor Asrul Zakaria, 39, walaupun menggunakan kerusi roda selepas kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis.
Shamsiah bersemangat untuk mengundi supaya dapat bersama memberi kemenangan kepada calon pilihan rakyat di Nenggiri.
"Kami harap kemajuan meningkat di DUN ini melalui wakil rakyat baharu," katanya.
Hassan Mat Noor, 80, pula berharap mereka akan mendapat geran tanah melalui wakil rakyat baharu kerana sudah lebih 40 tahun menetap di sini.
"Isu ini sudah lama dan kami sangat memerlukannya untuk anak cucu sedangkan kami sudah tua," katanya.
Rakannya, Majid Ibrahim, 84, juga mahu isu geran tanah diselesaikan kerana enggan lagi memikirkan nasib anak-anak dan cucu.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!