Kenaikan gaji selari inisiatif Kesuma, reformasi pasaran buruh swasta
GUA MUSANG - Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan semalam selari dengan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam memperkukuhkan dan mereformasi pasaran buruh swasta, dengan matlamat meningkatkan gaji pekerja secara progresif dan seiring dengan produktiviti negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dengan kenaikan gaji penjawat awam ini, ia akan menjadi pelengkap kepada Dasar Gaji Progresif Negara dan dasar gaji sedia ada iaitu Dasar Gaji Minimum serta Sistem Upah yang dikaitkan dengan Productivity Linked-Wage System (PLWS).
"Perkara ini sebenarnya akan meningkatkan lagi produktiviti negara dalam usaha mencapai julat pendapatan rakyat Malaysia yang lebih seimbang.
"Saya percaya dengan pelarasan gaji penjawat awam ini, ia akan memberikan momentum kepada pihak swasta untuk mengikuti saranan kerajaan. Usaha ini selari dengan maklum balas yang diterima semasa libat urus dengan lebih 1,000 majikan dari pelbagai sektor sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jeram Tekoh, di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!