Generasi muda perlu pegang teguh semangat aktivisme, idealisme - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Generasi muda perlu berpegang teguh kepada semangat aktivisme dan idealisme yang berpaksikan keadilan, kebebasan serta kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pegangan tersebut penting bagi memastikan anak muda tidak menjadi tunggangan mana-mana pihak khususnya kumpulan perkauman dan pelampau agama.

"Saya turut menggesa anak muda untuk memainkan peranan penting dalam mendepani cabaran semasa terkait kemiskinan, fahaman sempit, perkauman, perubahan iklim, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

"Anak muda tidak boleh membiarkan pimpinan menyelesaikan masalah ini tatkala ramai yang diberi amanah menggunakan kuasa itu untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni, sedangkan rakyat terus bergelumang dalam kemiskinan tegar dan hidup melarat.

Anwar bersama mahasiswa yang hadir Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Anwar bersama mahasiswa yang hadir Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Justeru, anak muda perlu bangkit bersuara memperjuangkan isu-isu kemanusiaan, penderitaan rakyat miskin dan terpinggir, kemusnahan alam sekitar serta rasuah yang merosakkan moral dan negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar hadir merasmikan Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di Kuala Lumpur pada Jumaat bersama Menteri Pendidikan Tinggi.

Program iFUTURE 2024 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula Jumaat hingga Ahad dan merupakan usaha kementerian untuk memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dalam pelbagai isu nasional serta global.

Artikel Berkaitan:

Anwar hadir merasmikan Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di Kuala Lumpur pada Jumaat bersama Menteri Pendidikan Tinggi.
Anwar hadir merasmikan Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di Kuala Lumpur pada Jumaat bersama Menteri Pendidikan Tinggi.

Acara tersebut membabitkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 negara.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, beliau sempat melontarkan petikan puisi 'Splendour in the Grass' karya William Wordsworth sebagai peringatan buat mahasiswa menggunakan usia dan tenaga muda untuk berjuang membawa idealisme perjuangan.

Menurut beliau, ia juga adalah antara puisi cinta yang pernah dikirimkan kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail suatu ketika dulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!