Aksesori bukan sekadar gaya
Semua kelengkapan disyorkan demi keselamatan penunggang motosikal
HOBI menunggang motosikal baik lelaki mahupun wanita kini ibarat sudah menjadi kebiasaan.
Pada setiap hujung minggu, lebuh raya-lebuh raya akan dipenuhi dengan kumpulan motosikal yang berkonvoi ke destinasi tujuan.
Trend tersebut dapat dilihat menerusi penubuhan beberapa kelab motosikal di Malaysia yang wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Kepada penunggang motosikal, sikap berhati-hati perlu sentiasa menjadi amalan. Sedikit kelalaian mampu mengakibatkan kecederaan dan lebih buruk lagi boleh membawa maut.
Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk menunggang, setiap pecinta dua roda seharusnya bersedia dengan kelengkapan-kelengkapan asas penunggang yang betul bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Antaranya ialah topi keledar, jaket motosikal, sarung tangan, pelindung siku, pelindung lutut dan kasut.
Setiap kelengkapan juga perlu diteliti keaslian dan kualitinya.
Paling utama bagi Sinar Turbo ialah topi keledar yang semestinya perlu mendapat kelulusan serta diperakui oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia.
Berikut Sinar Turbo perincikan kegunaan setiap alatan dan aksesori untuk panduan bersama.
1. Topi keledar
Bagi pemilik motosikal berkuasa tinggi, selalunya mereka lebih cenderung untuk memiliki jenis muka penuh (full face) kerana ia lebih selamat dan kalis angin ketika menunggang.
Jenis seperti itu biasanya lebih mahal berbanding topi keledar biasa iaitu kira-kira RM150 dan yang mencecah hingga ribuan ringgit.
Terdapat banyak pilihan jenama yang popular dalam pasaran seperti Arai, Shoei, KYT, AGV, Shark dan banyak lagi.
2. Jaket
Jaket motosikal juga penting untuk penunggang motosikal khususnya motosikal berkuasa tinggi. Ini kerana jaket yang dikhaskan untuk menunggang mempunyai ciri-ciri yang dilengkapi dengan pad atau pelindung pada siku, lengan, dada dan bahagian belakang tubuh.
Fungsi jaket sebenarnya lebih untuk mengurangkan risiko kecederaan buat penunggang sekiranya mengalami kemalangan mengejut.
Ia kebiasaannya boleh didapati pada harga serendah RM100 dan mampu mencapai ribuan ringgit bergantung kepada jenis material yang digunakan. Material seperti Mesh lebih murah berbanding meterial kulit.
Untuk tunggangan harian, lebih baik menggunakan material jenis Mesh kerana ia tidak panas dan lebih selesa.
3. Sarung tangan dan pelindung lutut
Sarung tangan penting kerana ia mampu memberi penunggang motosikal lebih keyakinan ketika menunggang.
Tangan yang berpeluh sangat bahaya kerana ia mampu membuatkan seseorang hilang tumpuan. Memakai sarung tangan antara lain berfungsi membantu cengkaman kuat pada pemegang motosikal.
Pelindung lutut pula penting jika seseorang bercadang menunggang untuk perjalanan pada jarak yang jauh. Ia boleh melindungi lutut dan betis jika terjatuh atau kemalangan.
Namun, bagi tunggangan jarak dekat, ia bukanlah satu keutamaan.
4. Kasut
Satu lagi yang memberi faktor keyakinan ketika menunggang motosikal adalah pemakaian dan pemilihan kasut yang sesuai. Tidak seperti motosikal biasa seperti skuter, motosikal jenis berkuasa tinggi terutamanya harus menggunakan kasut yang lebih praktikal lantaran jentera seperti itu mempunyai gear manual dan memerlukan skil untuk mengimbangi minyak dan clutch.
Jika memilih untuk memakai selipar ketika hujan, pilihan itu sangat memudaratkan. Jika berlaku kemalangan pula, kaki akan cedera kerana tiada perlindungan.
Kasut yang sesuai akan memudahkan penunggang menukar gear dengan baik dan mengawal jentera sebelum bergerak atau ketika berhenti.
5. Pelindung siku dan pad badan (body pad)
Dua aksesori luaran itu boleh dikategorikan boleh digunakan untuk menambahkan lagi perlindungan jika berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Ia boleh dipakai walaupun menggunakan jaket motosikal. Dengan aksesori itu, ia mampu membantu melindungi anggota badan daripada kecederaan teruk jika berlaku kemalangan terutamanya pada bahagian tulang belakang.
Waima menunggang motosikal kapcai, keselamatan perlu dititikberatkan walaupun kita cuma menunggang sekitar 20 kilometer atau 50km sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!