Selangor giat promosi pelancongan
SABAK BERNAM - Selangor akan terus mempergiatkan usaha mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 walaupun berdepan trend pelancong negara ini lebih memilih bercuti ke selatan Thailand.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, perkara itu tidak boleh dielak kerana ia satu trend warga Malaysia melancong ke selatan Thailand khususnya wilayah Satun dan Hatyai.
"Kita tahu memang ada sebahagian pelancong pergi (bercuti) ke Hatyai kerana mereka mendakwa makanan, hotel, cenderamata di sana lebih murah dan sebagainya.
"Namun, trend melancong ke Selangor juga tidak kurang hebatnya kerana kita menawarkan banyak percutian menarik untuk pelancong domestik dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan (PKPS) dan Pengumuman Pelancongan Sekinchan di sini pada Jumaat malam.
Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, slogan 'Pusing Selangor Dulu' diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong pada tahun depan.
"Slogan ini sudah menjadi mercu tanda kepada negeri ini dan kita berharap lebih ramai pelancong bukan sahaja sampai ke Selangor, malah dapat bermalam di sini," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga sedang merancang untuk membangunkan hotel bertaraf empat atau lima bintang di Sekinchan yang terkenal sebagai pusat agro pelancongan di negeri ini.
Beliau memberitahu, industri agro pelancongan di Sekinchan semakin berkembang dan menjadi tumpuan pengunjung.
Katanya, terdapat keperluan mendesak bagi membangunkan hotel mewah yang mampu menarik pelancong antarabangsa.
"Mereka (pelancongan luar negara) ingin datang ke Sekinchan dan bermalam di sini, kerana tarikan pemandangan sawah padi dan produk pelancongannya.
"Namun, oleh kerana kualiti penginapan di Sekinchan tiada bertaraf empat atau lima bintang, maka ini menjadi kekangan dan cabaran untuk Sekinchan.
"Kita kekurangan tanah (membangunkan hotel), namun begitu saya sedar hakikat ini dan sedang berusaha untuk kita kenal pasti tanah dua keping (4.8 hektar) tanah sawah dibangunkan hotel pada masa akan datang dalam masa terdekat," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!