PRK Nenggiri: Banjir kilat pulih, pengundi mula keluar mengundi

Kampung Sungai Serian Batu 12 dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak malam Khamis. Gambar kecil: Ramlan
Kampung Sungai Serian Batu 12 dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak malam Khamis. Gambar kecil: Ramlan
A
A
A

GUA MUSANG - Masalah banjir kilat yang berlaku di Kampung Sungai Serian Batu 12 di sini hanya beberapa jam sahaja dan masalah itu sudah selesai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hujan lebat sejak malam Khamis mengakibatkan kawasan itu dinaiki air.

Bagaimanapun menurut beliau, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak segera dengan menyediakan perahu bagi memudahkan pengundi yang datang pada awal pagi.

"Kini keadaan sudah pulih seperti biasa dan pengundi boleh menggunakan kenderaan sendiri untuk ke lokasi mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh.

Jelas Ramlan, mereka juga tidak menerima sebarang aduan berkaitan penduduk yang tidak dapat keluar mengundi.

Katanya, SPR sentiasa membuat persiapan awal bagi membolehkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sebarang masalah.

Sehingga kini penggawa kawasan turut menjaga keperluan seramai 564 pengundi di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular gambar satu kawasan dilanda banjir ketika penduduk mahu keluar mengundi di DUN Nenggiri.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!