Pemandu lori ditipu individu tawar bantuan guna Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil

Pemandu lori diperdaya seorang individu yang mendakwa menawarkan bantuan dana menggunakan nama Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil. - Gambar hiasan 123RF
Pemandu lori diperdaya seorang individu yang mendakwa menawarkan bantuan dana menggunakan nama Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori kerugian RM150 setelah diperdaya seorang individu yang mendakwa menawarkan bantuan dana menggunakan nama Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, laporan dibuat mangsa berusia 33 tahun itu diterima pada Jumaat, selepas menyedari ditipu individu berkenaan menerusi satu siaran langsung di aplikasi Tik Tok.

"Lelaki itu mendakwa, dia telah melihat satu siaran langsung di Tik Tok pada Khamis atas nama seorang individu yang menawarkan bantuan dana dari Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil berjumlah antara RM3,000 sehingga RM15,000.

"Jumlah bantuan dana yang ditawarkan bergantung kepada pakej yang dipilih dengan bayaran pendaftaran antara RM50 hingga RM300.

"Terdapat enam pakej ditawarkan individu terbabit iaitu pakej A hingga pakej F dengan kadar bayaran tertentu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan bantuan dana yang ditawarkan seterusnya telah berurusan dengan individu berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya telah mengikut arahan individu berkenaan dengan membuat pembayaran ke akaun e-wallet

melalui kod QR yang diberikan untuk tujuan pendaftaran dan mendapatkan bantuan dana ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dijanjikan bahawa bantuan dana berkenaan akan dimasukkan terus ke akaun bank miliknya dalam tempoh 24 jam selepas pendaftaran," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, selepas 24 jam, mangsa mendapati tiada wang yang masuk ke dalam akaunnya dan panggilan mangsa juga telah disekat oleh suspek.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama, Kumar berkata, semakan telah dibuat dengan pihak Yayasan Kanser Tunku Abdul Jalil dan mendapati tiada tawaran bantuan dana sedemikian ditawarkan kepada orang ramai menerusi pakej-pakej yang didakwa.

"Kita ingin memberi peringatan dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran bantuan dana yang diterima melalui dalam talian, terutama yang menggunakan nama badan atau yayasan yang membabitkan institusi Diraja.

"Buat semakan dengan badan atau yayasan berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan atas sesuatu tawaran yang diterima," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!