Pelarasan gaji: Langkah strategik kerajaan mampu imbangi cabaran fiskal
KUALA LUMPUR - Kekangan kewangan negara yang mungkin timbul susulan pelarasan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam Malaysia bukanlah cabaran fiskal yang tidak mampu diatasi malah boleh diimbangi menerusi langkah strategik kerajaan.
Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Goh Lim Thye berkata, tinjauan fiskal negara secara keseluruhannya kekal terurus.
Lim Thye berkata, walaupun pelarasan itu perlu untuk menangani gaji sektor awam yang lebih rendah berbanding sektor swasta, namun, tidak dapat dinafikan ia sudah pastinya akan menambah tekanan kepada belanjawan negara dan sasaran defisit fiskal kerajaan.
"Bagaimanapun, kerajaan mempunyai beberapa strategi untuk menangani impak ini dengan berkesan. Pertama sekali, adalah penting untuk diambil perhatian bahawa tidak semua 1.6 juta penjawat awam akan mendapat manfaat secara automatik daripada pelarasan gaji.
"Pelarasan baru-baru ini di bawah dasar pemisah (exit policy), mengurangkan tempoh penamatan perkhidmatan pegawai berprestasi rendah daripada 36 bulan kepada 18 bulan, menekankan komitmen kerajaan untuk memberi ganjaran berdasarkan prestasi.
"Pelarasan itu akan diagihkan secara terpilih, memastikan hanya mereka yang mencapai atau melebihi jangkaan prestasi akan mendapat manfaat,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, selain kenaikan gaji berasaskan prestasi, langkah-langkah lain termasuklah meluaskan asas cukai, mengurangkan subsidi, dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting akan mewujudkan ruang fiskal yang diperlukan untuk menampung kenaikan sementara,” katanya.
"Dengan pelaksanaan kenaikan gaji berasaskan prestasi dan pembaharuan fiskal lebih meluas, kerajaan menunjukkan bahawa matlamat defisit masih boleh dicapai walaupun dalam masa yang sama kerajaan menyediakan peruntukan besar ke dalam tenaga kerja sektor awamnya.
"Pendekatan ini akan memastikan disiplin fiskal dikekalkan, dan kekuatan ekonomi negara terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, gaji yang lebih tinggi boleh diterjemahkan kepada pendapatan boleh guna dan kuasa beli, yang akan meningkatkan aktiviti ekonomi, terutamanya dalam segmen runcit.
"Hubungan antara pendapatan boleh guna dan penggunaan telahpun mantap, terutamanya dalam konteks Malaysia, yang mana peningkatan pendapatan boleh guna biasanya membawa kepada perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, yang memberi manfaat secara langsung kepada sektor runcit,” katanya.
Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, Lim Thye berkata, purata pendapatan isi rumah tahunan meningkat sebanyak 2.4 peratus dari 2019 hingga 2022 manakala perbelanjaan penggunaan isi rumah naik sebanyak 3.7 peratus setiap tahun dalam tempoh yang sama.
"Kecenderungan penggunaan marginal (MPC) di Malaysia meningkat kepada 0.96 pada 2022 daripada 0.66 pada 2019, menunjukkan bahawa isi rumah kini membelanjakan hampir semua pendapatan tambahan mereka.
"Kecenderungan penggunaan yang tinggi ini menunjukkan bahawa kenaikan gaji untuk kakitangan kerajaan berkemungkinan akan memberi rangsangan segera kepada aktiviti sektor runcit apabila kebanyakan pendapatan tambahan dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, MPC yang tinggi itu menunjukkan bahawa kebanyakan pertumbuhan pendapatan menjurus kepada penggunaan.
Trend sebegini, katanya, memerlukan pelaksanaan program celik kewangan dan kempen penjimatan untuk menggalakkan kakitangan kerajaan memperuntukkan lebih banyak pendapatan boleh guna mereka bagi simpanan jangka panjang.
"Inisiatif sebegini boleh melengkapkan kenaikan gaji secara berkesan dengan menggalakkan budaya menabung, sekali gus memastikan faedah peningkatan pendapatan meluas ke dalam jaminan kewangan pada masa depan," kata Lim Thye.
Sementara itu, pensyarah kanan Kajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah yang turut berkongsi pandangan yang sama berkata kredibiliti merupakan aspek sangat penting untuk meyakinkan pelabur dan firma terhadap pelaksanaan dasar fiskal.
"Salah satu petunjuk penting bagi pelabur dan firma ialah pertumbuhan sektor borong dan runcit; petunjuk ini penting (apabila mengukur) perbelanjaan isi rumah dan peningkatan dalam jualan perniagaan," ujarnya.
Ridhuan berkata, usaha dasar Ekonomi Madani untuk merapatkan jurang fiskal Malaysia juga membantu meningkatkan kredibiliti negara dan menarik pelabur.
Dalam pada itu, kerajaan Malaysia terus komited terhadap penyatuan fiskal dengan defisit fiskal dijangka bertambah baik kepada 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang akhir 2024 dan seterusnya mencapai sasaran 3.0 peratus hingga 3.5 peratus menjelang akhir 2025. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!