Manchester United perlu lebih tenang

Ten Hag - Foto: Agensi
Ten Hag - Foto: Agensi
A
A
A

KEGAGALAN menterjemahkan setiap peluang kepada bentuk jaringan kekal menjadi kebimbangan utama Manchester United selepas menang tipis 1-0 ke atas Fulham pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Malah pengendali Manchester United, Erik ten Hag menuntut pemain-pemain The Red Devils untuk lebih tenang apabila berada dalam kawasan gol pasukan lawan bagi menyempurnakan setiap tindakan.

“Satu bahagian yang perlu kita betulkan ialah bagaimana untuk membunuh permainan dalam kawasan penalti.

“Kami melihatnya dalam perlawanan persahabatan dan minggu lalu menentang Manchester City dalam Perisai Komuniti.

"Kami mencipta peluang yang mencukupi dan tidak sepatutnya menunggu di lewat perlawanan untuk melakar kemenangan. Kami harus lebih tenang dan membunuh pasukan lawan.

"Mungkin kerana ia adalah permulaan musim, pemain-pemain perlu mencapai kelajuan penuh. Kami mempunyai pemain yang mencukupi dengan kebolehan menjaringkan gol,” kata Ten Hag selepas perlawanan di Stadium Old Trafford pada Sabtu.

Percaturan ten Hag menggantikan Mason Mount dengan Joshua Zirkzee pada pertengahan separuh masa kedua ternyata berbaloi apabila pemain kelahiran Schiedam, Belanda itu tidak mempersiakan penampilan sulungnya menerusi jaringan minit ke-87.

Mengenai Zirkzee, ten Hag berkata, Zirkzee mengalami kecederaan pada penghujung kariernya di Bologna dan tidak terpilih untuk Kejuaraan Eropah bersama Belanda.

Artikel Berkaitan:

"Kami perlu mengatasi beberapa kekurangan dalam pasukan. Dia mempunyai beberapa elemen yang kami tidak ada dalam perlawanan ini.

"Dia sangat bagus dalam kombinasi gabungannya. Kami mempunyai beberapa kombinasi permainan bola yang sangat baik dalam pasukan dan dia melakukannya malam ini apabila menjaringkan gol pertamanya."

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!