Kesesakan, kemalangan faktor peniaga simpang 3 Pasar Manir perlu pindah - MBKT

Keadaan lokasi gerai perniagaan yang dibuka berdekatan simpang tiga Pasar Manir di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Rosli
Keadaan lokasi gerai perniagaan yang dibuka berdekatan simpang tiga Pasar Manir di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga makanan dan minuman berdekatan simpang tiga, Pasar Manir di sini akan dipindahkan ke lokasi sesuai bagi mengelak berlaku kesesakan di kawasan tersebut.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, langkah itu diambil memandangkan terdapat beberapa faktor membabitkan kepentingan awam.

Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan semua pihak dapat menjalankan aktiviti perniagaan dengan selamat.

"Kita mengenal pasti terdapat beberapa faktor yang menjejaskan kepentingan orang awam antaranya gerai perniagaan tersebut menghalang laluan serta berlaku kes-kes kemalangan menyebabkan kerugian harta benda dan sebagainya.

"Selain itu, terdapat juga kesan terhadap peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan secara sah di Pasar Manir.

"Mereka bayar (sewa) untuk berniaga secara sah dan sebagainya, tetapi apabila ada peniaga secara tidak sah di situ, secara tidak langsung memberi kesan kepada mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Jelas Rosli, kira-kira 20 peniaga terlibat telah dipanggil pada Rabu lalu bagi menghadiri mesyuarat mengenai langkah yang diambil.

"Kita telah maklumkan kepada mereka berkenaan tindakan diambil dan kita akan susun mereka yang terlibat di lokasi bersesuaian.

Artikel Berkaitan:

"Saya perlu lihat dahulu susun atur dalam Pasar Manir itu, mungkin peniaga ini akan ditempatkan di sekitar kawasan itu juga, namun yang penting ianya bersesuaian," kata beliau.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut mendapati tidak semua peniaga membuka gerai jualan malah ada di antara mereka dilihat bersedia untuk berpindah ke kawasan lain.

Bagaimanapun, terdapat dalam kalangan peniaga yang masih berharap untuk meneruskan perniagaan di kawasan itu atas beberapa faktor.

Pekerja kedai pakaian, Suzana Yahaya, 44, berkata, dia yang hampir setahun bekerja berharap agar diberi peluang untuk terus bekerja di situ kerana lebih dekat dengan keluarga.

"Saya ada lima orang anak, dua orang bersekolah menengah manakala seorang anak berada di sekolah rendah.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai kerani di sebuah ladang sawit namun terpaksa berhenti kerana jauh untuk ulang alik dengan rumah dan dalam masa yang sama perlu menguruskan persekolahan anak," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Badrol Shazwan Badli Shah, 26, berkata, dia berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mempertimbangkan supaya mereka dapat pindah ke lokasi bersesuaian.

"Saya telah berniaga di sini sejak 10 tahun lalu dan ini kali pertama berdepan tindakan sebegini.

"Kita harap pihak berkaitan dapat membantu kami, golongan peniaga yang mencari punca pendapatan di sini dengan mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!