Pelarasan gaji tingkatkan dedikasi, motivasi anggota penguat kuasa
JOHOR BAHRU - Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan semalam diyakini mampu memberi motivasi kepada anggota penguat kuasa, terutamanya kumpulan sokongan yang berpendapatan rendah, untuk lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, langkah ini juga seiring dengan konsep Madani, khususnya prinsip Ihsan, yang mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap anggota penguat kuasa dalam memastikan kesejahteraan hidup mereka lebih terjamin
"Kerajaan bertindak begitu adil memberi kenaikan lebih tinggi kepada kumpulan bawahan iaitu 15 peratus berbanding pengurusan tertinggi tujuh peratus. Ini sedikit sebanyak mengurangkan jurang perbezaan gaji antara kumpulan bawahan dan pengurusan tertinggi.
"Saya yakin anggota bawahan tentunya berasa gembira dengan kenaikan yang signifikan ini. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semalam, ini merupakan sejarah kenaikan gaji tertinggi bagi seluruh anggota perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai KDN pada Program Madani Rakyat Zon Selatan, pada Sabtu.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.
Sehubungan itu, KDN menyambut baik pengumuman tersebut dan berharap agar peningkatan gaji ini akan disertai dengan peningkatan produktiviti oleh penjawat awam, khususnya dalam sistem penyampaian masing-masing.
"Misalnya, di KDN terdapat Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran yang menyediakan kaunter perkhidmatan, sudah tentu pegawai bertugas perlu meningkatkan lagi prestasi mereka dan memberi perkhidmatan lebih efisien.
"Hari ini rakyat memerlukan perkhidmatan penyampaian lebih efisien, mereka tak mahu beratur lama, mereka memerlukan perkhidmatan cepat misalnya pengeluaran pasport, kad pengenalan dan sebagainya. Oleh itu, kenaikan gaji ini akan merangsang kakitangan kita memberi perkhidmatan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, penjawat awam tidak boleh kekal dengan cara lama dan harus bergerak ke hadapan untuk mencapai status negara maju dengan pendapatan tinggi.
"Dalam sebuah negara yang menekankan kepentingan kemajuan ekonomi, kita seharusnya meningkatkan daya saing negara. Dengan kecekapan perkhidmatan awam, kita pasti dapat menarik lebih ramai pelabur asing dan ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!