PRK Nenggiri: Wan Rosdy dakwa Muhyiddin ingkar, sentuh isu 3R

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan sewajarnya terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) dalam kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu perlu diambil agar ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.

"Saya berharap rakyat di negara ini perlu terus menghormati institusi diraja yang merupakan lambang kedaulatan dan kestabilan negara serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat jelata," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Rosdy turut menzahirkan kecewa dan terkilan dengan ucapan Muhyiddin ketika berkempen secara biadab menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menteri Besar Pahang itu berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

"Saya yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan Al-Sultan Abdullah berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu telah menolak titah Tuanku ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!