Program TVET akan ditawarkan kepada pelajar luar negara - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini bakal ditawarkan kepada pelajar luar negara, namun ia akan dikendalikan pihak swasta, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, hal ini penting bagi memastikan tempat dan peluang latihan yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar tempatan di institusi sedia ada, tidak direbut oleh pelajar luar negara.
Beliau berkata, dengan persekitaran dunia yang sudah berubah, TVET kini menjadi asas kepada ekosistem pendidikan baharu dan disebabkan itu, kerajaan bersedia untuk menawarkan latihan di 1,345 institusi TVET di seluruh negara.
"Tentunya bidang-bidang baharu (ditawarkan dalam latihan TVET) ini sesuai dengan pelaburan langsung asing (FDI) yang datang ke negara kita kerana dalam sistem pendidikan, hanya 20 peratus pedagogi pendidikan dibuat di dalam kelas dan 80 peratus lagi di makmal, tempat kerja atau di lapangan.
"Perkara ini yang menarik dan para pelajar luar negara juga akan ditawarkan latihan sama yang dikendalikan pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di sini pada Sabtu.
Mendepani masa depan, Ahmad Zahid berkata, TVET harus dilihat sebagai satu bentuk penerobosan kepada anak-anak muda dalam mendapatkan jaminan pekerjaan daripada pemain-pemain industri.
"Ertinya apabila mereka gagal atau tidak cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bermaksud dunia telah kiamat. Tidak, sebaliknya kita guna TVET sebagai penerobosan baharu untuk mewarnai masa depan kerjaya mereka kerana ia ekosistem pendidikan baharu,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa pemimpin muda memainkan peranan penting dalam memperjuangkan TVET sebagai laluan berharga untuk perkembangan kerjaya.
Beliau berkata, melalui TVET, mereka dapat membantu membentuk semula imej bidang itu dan menyerlahkan peranan kritikal dalam memenuhi permintaan pasaran pekerjaan masa kini.
"Matlamat kami ialah menukar persepsi bahawa pendidikan akademik tradisional hanya satu-satunya jalan untuk berjaya. TVET (sebenarnya) menawarkan kepentingan yang seimbang dan banyak peluang dalam pelbagai industri dan sektor.
"Ia menyediakan laluan untuk individu melibatkan diri dalam kerja yang begitu bermakna, membina kerjaya dan menyumbang secara signifikan kepada bidang mereka," katanya.
Program julung kali dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi selama tiga hari bermula semalam itu, ialah usaha untuk memastikan generasi pemimpin negara didedahkan dengan pelbagai isu nasional dan global.
Ia melibatkan lebih 1,000 pemimpin pelajar tempatan dan antarabangsa dari 46 negara, dan menyediakan platform dan peluang kepada pelajar menunjukkan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti akademik dan menambah baik kemahiran pengucapan awam mereka. - Bernama
TAG: Ahmad Zahid Hamidi, TVET, swasta, pelajar luar, latihan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!