Durian mentega dinobatkan juara premium kampung Lipis
LIPIS - Tuah sebatang pokok yang sudah berusia lebih 60 tahun membawa kejayaan buat durian mentega untuk dinobatkan selaku juara Pertandingan Durian Kampung Premium Daerah Lipis 2024.
Pertandingan tersebut disertai 21 varieti durian kampung sekitar daerah itu yang diadakan di Pejabat Pertanian Lipis pada Selasa.
Pemiliknya, Jamaluddin Othman, 67, dari Kampung Lubuk Hik dekat sini berkata, durian itu memiliki rasa lemak berkrim seperti mentega serta berwarna kekuningan.
Menurutnya, benih pokok durian terbabit diperoleh dan ditanam oleh arwah datuknya.
"Saya sekadar suka-suka dan pertama kali hantar durian ini, tidak sangka menang pula, terkejut juga dibuatnya.
"Memang durian mentega ini antara yang mendapat permintaan tinggi di dusun," katanya.
Dia berkata, setiap kali berbuah, durian itu sudah ditempah oleh pelanggan tetap terdiri daripada penduduk kampung dan kawasan sekitar yang mengetahui keistimewaannya dengan harga RM10 sekilogram.
"Buat masa ini memang ada beberapa pihak menyuarakan minat untuk mengklonkan durian mentega ini," tambahnya.
Selain durian mentega, Jamaluddin turut memiliki 125 pokok durian pelbagai varieti lain di dusun keluasan kira-kira 1.2 hektar itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!