Ancaman ikan pemangsa dikesan di dua lokasi di Terengganu

Ikan baung ekor merah yang menjejaskan ekosistem perairan negara berasal dari Sungai Mekong, Vietnam. - Gambar hiasan
Ikan baung ekor merah yang menjejaskan ekosistem perairan negara berasal dari Sungai Mekong, Vietnam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terdapat ancaman ikan pemangsa seperti ikan baung ekor merah dan peacock bass dikesan di dua lokasi di Terengganu melibatkan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu dan Tasik Telabak, Besut.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kewujudan ikan pemangsa itu pada awal Januari lepas namun setakat ini ia berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, ancaman kehadiran ikan pemangsa itu tidak berada di tahap yang serius sehingga menjejaskan ekosistem di perairan tersebut.

"Tindakan dilakukan pihak Jabatan Perikanan adalah dengan memberi kesedaran dan menasihati orang awam supaya tidak melepaskan ikan itu dari akuarium sesuka hati ke dalam sungai kerana spesies berkenaan akan mengancam populasi ikan tempatan yang selama ini mendiami perairan tersebut.

"Begitu juga terdapat pihak melepaskan ikan pemangsa itu ke perairan umum untuk tujuan ritual keagamaan diminta supaya tidak melakukan perbuatan tersebut.

"Kita tak larang sesiapa untuk lakukan ritual keagamaan tetapi syaratnya tidak melepaskan ikan pemangsa ke perairan umum.

"Jadi semua pihak yang berhasrat melepaskan ikan itu ke sungai, diminta agar merujuk dahulu serta mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Perikanan Daerah terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, orang ramai turut diminta untuk melaporkan kepada pihak Perikanan Daerah sekiranya menjumpai ikan tersebut menerusi tangkapan dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini ada satu kes ikan baung ekor merah dilaporkan telah dijumpai di Sungai Terengganu, Hulu Terengganu. Selain itu, terdapat juga menerima laporan wujudnya ikan baung ekor merah dan peacock bass di Tasik Telabak.

"Cuma di Tasik Telabak itu, kita sedang usahakan bagaimana mengurangkan populasi ikan pemangsa tersebut.

"Jadi kita bercadang nak ada pertandingan memancing untuk tangkap ikan-ikan tersebut dan kita juga nasihatkan kepada pemancing supaya tidak melepaskan semula ikan itu ke perairan jika sudah ditangkap," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!