Ekonomi tumbuh pesat, bukti negara di landasan betul mampu tarik pelabur

Rafizi pada sesi 'Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi' sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM pada Sabtu.
Rafizi pada sesi 'Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi' sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini berada di luar jangkaan sekali gus membuktikan negara berada di kedudukan yang tepat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pencapaian itu perlu diteruskan dengan pelaksanaan dasar serta naratif ekonomi yang telah dirangka.

Selain itu, jelasnya tumpuan perlu diberikan kepada kecekapan proses dan prosedur selain mereformasi struktur bagi memudahkan pelabur menjalankan perniagaan di negara ini.

"Cabaran sekarang ini adalah untuk kerajaan memberi tumpuan bagaimana memastikan bukan sahaja naratif dan dasar itu menarik kepada pelaburan dan pertumbuhan, namun segera menterjemahkan (pelaburan) itu dengan menyediakan segala fasiliti yang perlu melalui proses teratur.

"Jika segala proses memudahkan perniagaan dan pelaburan itu dapat kita tawarkan dengan efektif, barulah momentum (pertumbuhan cemerlang) itu dapat diteruskan sekali gus Malaysia akan dilihat sebagai destinasi pelaburan yang baik bukan sahaja di rantau ini malah di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi 'Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi' sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengumuman kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua yang melebihi unjuran awal 5.8 peratus pada Jumaat.

Ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 dilaporkan berkembang sebanyak 5.9 peratus mengatasi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu dan pertumbuhan yang tertinggi sejak suku keempat 2022.

Artikel Berkaitan:

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran kerja yang kukuh serta sokongan dasar yang lebih meluas.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi cemerlang itu,

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bakal melancarkan Kerangka Memudahcara Perniagaan pada 4 Oktober depan.

Katanya, kerangka itu adalah strategi kementeriannya bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus berada pada tahap positif.

"Kerangka Memudahcara Perniagaan itu sudah selesai dirangka selepas setahun ia diperincikan dan melalui proses kelulusan.

"Kerangka baharu ini adalah mengenai kecekapan khidmat kerajaan dalam mempermudahkan perniagaan di negara kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!