‘PM dah tukar 5 kali, pencen pesara GLC masih tak selesai’

Mohamed Shafie
Mohamed Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pencen sangat rendah yang diterima oleh pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah diswastakan pada tahun 1980-an perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, masalah itu telah lama dikemukakan kepada kerajaan iaitu sejak dua dekad lalu, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian positif bagi menanganinya.

Menurutnya, setakat ini, UNI-MLC telah membawa perkara berkenaan untuk perhatian lima orang Perdana Menteri tetapi masih belum ada jalan penyelesaian.

“Kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas pengumuman pelarasan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam semalam (Jumaat).

“Memandangkan pelarasan gaji telah diumumkan, UNI-MLC meletakkan harapan agar Perdana Menteri mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah yang kini diterima oleh pesara-pesara agensi kerajaan yang diswastakan.

“Kami berpandangan golongan ini seolah-olah sedang dianaktirikan dan tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam menjaga kebajikan sedangkan mereka juga telah banyak menyumbang kepada negara selaku modal insan penting dalam proses pembinaan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Mohamed Shafie, walaupun pelbagai memorandum telah dihantar kepada kerajaan, namun sehingga kini tiada maklum balas daripada kerajaan mahupun Kementerian Kewangan.

UNI-MLC katanya, agak kecewa kerana isu itu tidak menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membawa ke perhatian ramai Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Artikel Berkaitan:

“Pesara-pesara yang menerima pencen rendah dengan kenaikan dua peratus setiap tahun kini hidup di bawah paras kemiskinan. Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi.

“Rata-rata pesara perkhidmatan GLC menerima pencen serendah RM180 sebulan. Keadaan menjadi lebih parah dan teruk dengan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Ramai kalangan mereka kini tergolong dalam kategori B40.

“UNI-MLC merayu kerajaan untuk melihatnya dalam pelaksanaan pelarasan gaji kali ini, sekali gus membawa penyelesaian positif selaras dengan dasar Malaysia Madani,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!