Syerleena lapor polis kenyataan fitnah di TikTok

Syerleena (tiga dari kiri) menunjukkan tangkap layar kenyataan fitnah yang dibuat pengguna TikTok terhadap dirinya.
Syerleena (tiga dari kiri) menunjukkan tangkap layar kenyataan fitnah yang dibuat pengguna TikTok terhadap dirinya.
A
A
A

GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap pengguna TikTok yang tidak bertanggungjawab memfitnah beliau kononnya anak kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, bapanya bukan pemimpin komunis seperti yang didakwa sebaliknya arwah bapanya ialah Abdul Rashid Hanafi merupakan bekas pesara guru yang baharu meninggal dunia awal Jun lalu.

Menurutnya, kenyataan fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja mencemarkan nama baik beliau dan keluarga malah boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

"Laporan polis juga dibuat terhadap pihak yang memfitnah saya di media sosial dengan mendakwa kononnya saya berjuang untuk menukar agama rasmi Malaysia dan akan menyerang institusi Islam khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Secara jelas, dakwaan-dakwaan ini adalah fitnah melampau yang ditaburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mewujudkan persepsi negatif orang ramai khususnya dalam kalangan Melayu terhadap saya, parti dan kerajaan secara umumnya," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer serta pimpinan DAP Pulau Pinang yang lain.

Mengulas lanjut, Syeerlena berkata, sebagai ahli Parlimen beragama Islam, beliau sentiasa komited dalam memelihara kesucian agama Islam dan akan mempertahankan institusi-institusinya di negara ini sekiranya diganggu-gugat.

Malah katanya, DAP juga telah menegaskan parti itu akan terus menghormati dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!