Menteri PKR digugurkan hanya polemik politik - Rafizi

Rafizi (kiri) ketika bercakap pada forum ‘Ask Minister Anything’ sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan di Dataran UTM pada Sabtu. - Foto: Bernama
Rafizi (kiri) ketika bercakap pada forum ‘Ask Minister Anything’ sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan di Dataran UTM pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli menegaskan dakwaan berhubung seorang menteri daripada parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada Jemaah Menteri sebagai polemik politik.

Menteri Ekonomi itu berkata, polemik tersebut merupakan taktik lapuk untuk menyerang kerajaan yang kini memberi banyak tumpuan untuk membangunkan ekonomi dan mentadbir negara lebih baik.

"Saya nasihatkan begini, saya rasa ni taktik lapuk, apabila lawan kami tidak boleh berdepan hal penting untuk negara seperti hal ekonomi dan pentadbiran. Jadi diambil isu-isu picisan seperti ini untuk disebar dan dipolitikkan.

"Saya boleh sebut, sepanjang 25 tahun di dalam PKR, ini adalah masa yang paling stabil dan aman sekali. Tiada apa-apa masalah daripada PKR ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi 'Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi' sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM pada Sabtu.

Sebelum itu, menurut laporan sebuah portal berita yang memetik satu sumber berpengaruh PKR mendakwa, seorang menteri daripada parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan daripada Jemaah Menteri.

Portal itu turut melaporkan satu lagi sumber daripada DAP yang mendakwa terdapat perbincangan tentang rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos, dengan beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.

Seterusnya pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan melakukan rombakan Kabinet membabitkan Jemaah Menterinya, tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau berkata, pihaknya tidak mendengar sama sekali berhubung perancangan rombakan Kabinet seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!