KPDN cadang anjur program Jualan Rahmah skala mega

Armizan(kanan) beramah mesra dengan pengunjung di Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan di Port Dickson pada Sabtu.
Armizan(kanan) beramah mesra dengan pengunjung di Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan di Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang mengadakan Program Jualan Rahmah Madani (PGRM) dalam skala lebih besar menerusi pelaksananan Karnival Mega Jualan Rahmah Madani.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan mengesyorkan cadangan itu dalam perjumpaan dengan kementerian terbabit hujung bulan ini untuk inisiatif Belanjawan 2025.

"Sekarang sudah ada beberapa siri dialog dan juga pada penghujung bulan ini akan ada perjumpaan di antara KPDN dan juga Kementerian Kewangan untuk melihat apakah cadangan daripada KPDN untuk inisiatif 2025.

“Antaranya kami memohon untuk meneruskan PGRM ini dan salah satu penambahbaikan dicadangkan untuk memperkenalkan inisiatif baharu yang dinamakan Karnival Mega Jualan Rahmah Madani, "katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, karnival jualan mega berkenaan akan diadakan di kawasan tertentu yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi.

Ini kerana katanya, pihaknya dimaklumkan barangan yang dijual di PGRM yang dilaksanakan sebelum ini tidak mencukupi berikutan sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan peruntukan tambahan kepada KPDN tahun hadapan bagi membolehkan program itu dilaksanakan.

“Bagi tahun 2024, KPDN telah mendapat peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pelaksanaan PGRM di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap Kementerian Kewangan akan pertimbangkan untuk kita meneruskan program ini dengan peruntukan RM150 juta dan peruntukan tambahan turut dipertimbangkan bagi pelaksanaan Karnival Mega Jualan Rahmah Madani dalam skala yang besar,” katanya.

Selain itu katanya, sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 5,680 siri PGRM telah dilaksanakan di seluruh negara termasuk 324 siri di Negeri Sembilan 324.

Ujarnya, berdasarkan maklum balas daripada orang ramai dan kajian dilakukan, program berkenaan ternyata dapat membantu menangani kos sara hidup rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!