UMNO perlu menang di Nenggiri supaya tidak jadi batu nisan - Zahid
KUALA LUMPUR - UMNO perlu menang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri supaya parti itu tidak menjadi batu nisan di Kelantan yang ketika ini ditadbir pembangkang.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan tersebut bakal menjadi tonggak ketiga untuk partinya dalam meningkatkan kembali kekuatan di negeri berkenaan.
"Di Nenggiri kita akan sumbang (kemenangan) supaya UMNO tidak menjadi batu nisan di Kelantan. Satu kerusi lagi yang akan kita sumbangkan akan jadi tungku (tonggak ketiga).
"Buatlah macam mana pun, asalkan menang walaupun satu kerusi (dan) saya rasa BN tapi majoriti tipis," katanya ketika wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.
PRK DUN Nenggiri yang bakal berlangsung pada Sabtu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pas.
BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sementara Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Mohd Rizwadi Ismail.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!