Digitalisasi: Generasi muda perlu dididik bertanggungjawab, etika

Generasi muda perlu dididik mengenai tanggungjawab dan etika dalam penggunaan teknologi agar menjadi individu yang bijak, berwaspada serta tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan
Generasi muda perlu dididik mengenai tanggungjawab dan etika dalam penggunaan teknologi agar menjadi individu yang bijak, berwaspada serta tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Generasi muda perlu dididik mengenai tanggungjawab dan etika dalam penggunaan teknologi agar menjadi individu yang bijak, berwaspada serta tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara ini penting memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya dan semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian inilah yang merupakan kekuatan Malaysia untuk terus kukuh sejak merdeka.

"Kekuatan hubungan masyarakat perlu diperkukuhkan menerusi pelbagai platform, terutama ketika negara bergerak pantas ke arah digitalisasi. Ini adalah satu anugerah yang besar dan mampu menjadi teras kepada perpaduan negara dengan berpaksikan konsep faham, hormat, dan terima.

"Namun begitu, kita terutama generasi muda perlu berhati-hati kerana penggunaan teknologi yang tidak terkawal boleh membawa kepada penyalahgunaan maklumat, kehilangan privasi dan ancaman kepada keselamatan negara. Untuk itu, ledakan teknologi mestilah diurus dengan bijak," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K Saraswathy sempena Pelancaran Malaysiaku Merdeka peringkat Negeri Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Menurut beliau usaha mempertahankan pengisian kemerdekaan di era digitalisasi ini juga seharusnya sesuatu pemudah cara yang melibatkan seluruh organisasi pelaksana sistem kerajaan dan juga pengguna yang merupakan rakyat Malaysia.

"Untuk itu, penghayatan terhadap cita-cita dan prinsip Rukun Negara hendaklah terus diperkukuh dan diterapkan dalam jiwa kita semua kerana kecelikan kefahaman ideologi negara boleh membentuk individu yang mempunyai jati diri, bermaruah dan beretika," katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 80 program dilaksanakan termasuk Program Malaysiaku Merdeka bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bermula Julai hingga September ini.

Artikel Berkaitan:

"Program Malaysiaku Merdeka bertujuan memperingati nilai kemerdekaan serta meingkatkan semangat patriotisme serta mengukuhkan lagi kefahaman dan pengisian terhadap kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!