PRK Nenggiri: Pesakit usus bocor tetap tekad mengundi

Mohd Yusof (tengah) berkerusi roda ketika dibawa ke pusat mengundi di SK Jeram Tekoh, Gua Musang.
Mohd Yusof (tengah) berkerusi roda ketika dibawa ke pusat mengundi di SK Jeram Tekoh, Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang pesakit usus bocor tetap tekad melunaskan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh di sini pada Sabtu.

Peneroka, Mohd Yusof Ismail, 73, hadir di pusat mengundi dengan berkerusi roda dan ditemani isterinya, Zawiah Yusof, 67, yang turut sama mengundi di saluran satu.

Mohd Yusof berkata, dia mengalami usus bocor di tiga tempat dan dimasukkan ke wad selama sebulan tahun lalu untuk rawatan serta pembedahan.

“Saya kini sudah tidak boleh bekerja malah tidak dapat berdiri atau berjalan dalam tempoh yang lama.

Mohd Yusof (kiri) memasukkan kertas undi ke dalam kotak selepas selesai memilih pada PRK DUN Nenggiri pada Sabtu.
Mohd Yusof (kiri) memasukkan kertas undi ke dalam kotak selepas selesai memilih pada PRK DUN Nenggiri pada Sabtu.

“Bagaimanapun, bila pilihan raya tetap akan keluar untuk mengundi kerana satu undi ini penting untuk menentukan pemimpin yang dipilih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah berkenaan selepas selesai mengundi.

Menurutnya, mereka juga menumpang kenderaan kenalan untuk datang ke pusat mengundi.

Mohd Yusof berkata, dia sebagai peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sangat berharap wakil rakyat di Nenggiri yang menang PRK tersebut akan membantunya untuk mendapatkan geran tanah.

Artikel Berkaitan:

Wan Ropiah (tengah) yang berada di atas katil hospital ditolak masuk bilik mengundi.
Wan Ropiah (tengah) yang berada di atas katil hospital ditolak masuk bilik mengundi.

“Saya peneroka generasi pertama dan datang meneroka sejak tahun 1981.

“Saya mahukan geran tanah kerana geran tanah itu umpama ‘surat beranak’ yang dapat mengesahkan kami setelah sekian lama menduduki tanah di KRT Kesedar Jeram Tekoh,” katanya.

Sementara itu, pesakit terlantar yang kedua, Wan Ropiah Ishak, 71, dibawa menggunakan katil hospital ke pusat mengundi tersebut pada jam 11.30 pagi untuk mengundi.

Wan Ropiah menghidap penyakit buah pinggang kronik dan turut kudung kaki kiri separas betis akibat penyakit kencing manis.

Wan Ropiah (tengah) mencelupkan jari kiri ke dalam dakwat ungu tanda mengundi.
Wan Ropiah (tengah) mencelupkan jari kiri ke dalam dakwat ungu tanda mengundi.

“Sejak kaki dipotong empat bulan lalu, saya tinggal di rumah anak di Machang dan memintanya untuk menghantar saya pulang ke kampung untuk mengundi.

“Saya dibawa ke pusat mengundi menggunakan ambulans dan selesai menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya.

Sebelum itu, peneroka, Aziz Mat Isa, 63, juga pesakit buah pinggang kronik dibantu datang ke pusat mengundi sama menggunakan ambulans badan bukan kerajaan bagi pada jam 9 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!