Akses 4,324 laman web jual barang tiruan, karya cetak rompak disekat

Armizan ketika sidang media selepas hadir di Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini pada Sabtu.
Armizan ketika sidang media selepas hadir di Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 4,324 laman web yang didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti jualan barangan tiruan, pengedaran karya cetak rompak dan penawaran jualan langsung berunsurkan skim piramid telah diambil tindakan halangan akses sejak tahun 2018.

Dalam tempoh sama, sebanyak 3,408 iklan membabitkan jualan barang kawalan melebihi harga diwartakan, jualan barangan tiruan dan penggunaan perkataan ‘no palm oil’ ke atas produk tertentu telah diturunkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu hasil kerjasama KPDN dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta penyedia perkhidmatan internet (ISP).

"Dalam kita mengambil pendekatan jangka panjang untuk memperkemaskan undang-undang sedia ada, kita juga mengambil tindakan serta merta.

"Bagi tempoh tindakan jangka masa panjang, kita mengkaji kerangka perundangan sedia ada seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Akta Perdagangan Elektronik 2006 (Akta 658) dengan melihatnya secara menyeluruh, kekurangan yang wujud dan perlu ditambah baik bagi meningkatkan perlindungan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna dapat membuat aduan kepada KPDN terhadap apa jua transaksi yang dilihat mempunyai kesalahan dan bertentangan dengan perundangan sedia ada.

Menurutnya, aduan berkenaan penting bagi membolehkan KPDN mengekang kegiatan peniaga yang menyalahi undang-undang selain melindungi kepentingan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dengan mengambil kira trend pengguna melihat pengiklanan, promosi dan urus niaga dalam talian, pihaknya akan menggerakkan sesi advokasi di seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!