Pengurusan sentimen, persepsi Kerajaan Perpaduan perlu perubahan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita dalam temu bual berkaitan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita dalam temu bual berkaitan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) menyedari pengurusan sentimen dan persepsi terhadap Kerajaan Perpaduan memerlukan perubahan drastik.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan itu penting dilaksanakan bagi menjawab kebimbangan dibangkitkan rakyat susulan kurang keberkesanan dalam penyampaian khususnya membabitkan keputusan dibuat kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, selari dengan perubahan landskap politik semasa ia wajar menggunakan pendekatan baharu khususnya melalui komunikasi tanpa lisan atau secara dalam talian.

"Dalam pengurusan persepsi, kita lihat bahwa satu perubahan drastik mesti dilakukan bukan hanya Kementerian Komunikasi di mana Menterinya, Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan tapi lebih penting ialah pendirian 18 parti dalam mendukung keputusan Kabinet.

"Keputusan yang dibincangkan dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu kemudiannya harus difahami oleh kepimpinan peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan itu telah pun dilaksanakan.

"Tapi keberkesanan belum dapat melimpah hingga ke bawah lagi," katanya ketika wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

PAU 2024 dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini.

Perhimpunan terbesar bagi parti itu bakal menyaksikan kehadiran 6,443 perwakilan iaitu 2,939 orang perwakilan bagi PAU, 1, 171 perwakilan wanita, 1,173 sayap pemuda dan 1,150 sayap puteri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam perkembangan sama menjelaskan isu sentimen dan persepsi memainkan peranan sangat penting dalam menarik semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

"Politik pembangunan juga masih penting tetapi kalau soal isu dan sentimen tidak ditangani ia tidak memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, secara keseluruhan keserasian dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Jemaah Menteri sangat baik.

Menurutnya, ia dapat dilihat dengan keputusan yang diambil oleh Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!