PRK Nenggiri: Asyraf Wajdi dakwa BN menang di 4 PDM
GUA MUSANG - Barisan Nasional (BN) didakwa menang di empat pusat daerah mengundi (PDM) yang ditutup awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada Sabtu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, BN mendahului dengan majoriti 1,003 undi di PDM Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera dan Kuala Sungai yang proses pengundiannya ditutup pada jam 2 petang.
"Setakat ini di empat PDM terawal ditutup ini BN memperoleh sebanyak 1,229 undi manakala Pas 226 undi.
"Empat PDM terawal ini BN menang," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Asyraf Wajdi berkata, di PDM Tohoi BN mendapat sebanyak 330 undi manakala Pas 28 undi menjadikan majoriti diperoleh sebanyak 302 undi.
Menurutnya, di PDM Sungai Puian pula BN menang dengan memperoleh 305 undi sementara Pas hanya mendapat lima undi dan merekodkan majoriti 300 undi.
Kata beliau, PDM Sungai Jenera pula BN menang dengan majoriti 352 undi apabila mendapat 440 undi manakala Pas 88 undi.
"Di PDM Kuala Sungai, BN dapat 154 undi, Pas peroleh 105 undi BN menang dengan majoriti 49 undi," katanya.
Ujar beliau, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, BN kalah di PDM Kuala Sungai dengan majoriti 34 undi.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!