Rakyat boleh nilai, lapor prestasi penjawat awam mulai Isnin ini

Anwar (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dan Setahun Ekonomi Madani di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pada Sabtu.
Anwar (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dan Setahun Ekonomi Madani di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat boleh menilai kualiti perkhidmatan penjawat awam dan melaporkan prestasi mereka mulai Isnin ini kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, penjawat awam perlu bersungguh-sungguh meningkatkan mutu perkhidmatan selepas kerajaan Pusat mengumumkan kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam seluruh negara pada Jumaat

"Mulai Isnin ini, setiap penjawat awam masuk kerja mengikut waktu yang ditetapkan, kerja bersungguh-sungguh dan tingkatkan prestasi.

"Rakyat boleh nilai dan jika ada kelemahan boleh laporkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA) agar tindakan dapat diambil," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dan Setahun Ekonomi Madani di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dekat sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan gaji itu bukan dibuat secara suka-suka tetapi merupakan satu reformasi dalam perkhidmatan awam selain mahu menambah baik kualiti perkhidmatan untuk kepentingan rakyat.

Namun beliau akui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan boleh dipertingkatkan dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ini orang kampung tidak perlu lagi menunggu sehingga berjam-jam untuk berurusan dengan penjawat awam dan di pejabat kerajaan," ujarnya.

Tambahnya, penilaian perkhidmatan boleh dilakukan di pejabat dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!